Kenapa Santhara dibenar kuarantin di rumah, soal Ahli Parlimen

Edmund Santhara berkata, beliau meninggalkan Malaysia untuk bersama keluarganya, antara lain disebabkan isterinya sakit.

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara pulang ke tanah air selepas percutian penuh kontroversi di New Zealand, tetapi kini timbul isu lain berhubung kuarantin wajibnya.

Dua Ahli Parlimen PKR kini mempersoalkan kenapa beliau dibenarkan menjalani kuarantin di rumah sekembalinya dari New Zealand baru-baru ini.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, semua individu yang pulang dari luar negara perlu menjalani kuarantin wajib di hotel atau pusat pengasingan yang diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, tidak patut wujud dwistandard untuk mereka yang berada dalam kerajaan.

“Beliau mungkin fikir New Zealand ialah negara yang sangat selamat (dari segi Covid-19), tetapi beliau masih mempunyai kontak dengan orang lain di lapangan terbang. Beliau boleh memilih kuarantin rumah, jika ada bentuk pengaturan perjalanan khas dengan New Zealand, tetapi tidak ada.

“Malah, orang yang datang dari Singapura perlu dikuarantin (di hotel atau pusat), jadi kenapa pengecualian diberikan kepada Santhara?

“Jika KKM mahu menjaga krediblitinya, mereka patut memberi layanan sama kepada semua orang,” kata Ahli Parlimen Gopeng itu kepada FMT.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah menyifatkannya “gila” untuk membenarkan Ahli Parlimen Segamat menjalani kuarantin di rumah, sedangkan rakyat biasa perlu tinggal di bilik hotel selama 10 hari.

“Disebabkan pihak berkuasa mahu mendenda orang yang melanggar SOP, jadi kenapa mereka tidak mendenda beliau atau orang yang membenarkan beliau menjalani kuarantin di rumah? Ini tidak patut berlaku.

“Apa yang istimewa sangat dengan Santhara? Adakah beliau mempunyai antibodi khas?” soal Ahli Parlimen PKR itu.

FMT menghubungi Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah untuk mengulas perkara ini.

Hari ini, Santhara dilaporkan pulang dari New Zealand minggu lalu dan sedang dikuarantin di rumah. Setiausaha Sulit Kanan Santhara, Muhammad Effi Arpan, mengesahkan perkara itu.

Pada 1 Mac lalu, ketika menjawab soalan berhubung “kehilangannya” dalam negara, Santhara melalui media sosial menjelaskan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin membenarkannya bercuti 55 hari untuk berada di New Zealand bersama keluarganya, antara lain disebabkan isterinya sakit.

Ahli Parlimen Segamat itu menafikan dakwaan beliau meninggalkan negara ketika perintah kawalan pergerakan, sebaliknya beliau berlepas ke Auckland pada 23 Dis dan dikuarantin sehingga 9 Jan lalu.