“Kalau dah kena, kenapa tak tinggalkan saja?”
Soalan ni mungkin nampak mudah bagi kita yang di ambang bahagia. Tapi untuk seseorang yang sedang berdepan keganasan rumah tangga, jawapannya tak semudah “kemas barang, ambil anak dan keluar”.
Realitinya, ramai mangsa bukan tak mahu pergi. Ada yang takut. Ada yang tak ada tempat nak pergi. Ada yang bergantung kepada pasangan dari segi kewangan. Ada yang risau tentang anak-anak. Dan ada juga yang sudah terlalu lama dimanipulasi sampaikan mula percaya bahawa semua yang berlaku dalam rumahtangga adalah salah mereka sendiri.
Sebenarnya keganasan rumah tangga bukan sekadar tentang seseorang kena pukul sahaja. Ia juga boleh melibatkan ugutan, kawalan kewangan, mengasingkan mangsa daripada keluarga dan kawan-kawan, manipulasi emosi, penghinaan, kawalan pergerakan dan pelbagai bentuk penderaan lain.
Sebab tu sebelum kita tanya, “Kenapa dia masih bertahan?”, mungkin kita kena faham dulu apa yang menyebabkan seseorang itu begitu sukar untuk keluar. Logik akal kan?
Jadi, sekarang ni jom kita tengok apa sebab mereka masih boleh bertahan dalam rumahtangga yang bukan lagi syurga untuk mereka.
1. Takut Keselamatan Diri dan Anak
“Kalau aku keluar, nanti dia buat apa dekat aku?”
Ini antara perkara yang mungkin bermain dalam fikiran mangsa.

Meninggalkan hubungan yang mempunyai unsur keganasan bukan semestinya bermaksud keadaan terus menjadi selamat.
Malah, ada situasi di mana keganasan boleh menjadi lebih teruk apabila seseorang cuba meninggalkan hubungan tersebut.
Kalau ada anak pula, ketakutan itu mungkin berganda. Macam-macam difikirkan nanti. Itu ini semua rasa tak kena.
Bukan fikir keselamatan diri saja, tetapi keselamatan anak-anak juga.
2. “Aku Tahan Sebab Anak”
Ada mangsa yang terus bertahan kerana memikirkan anak.
Mereka mungkin takut anak kehilangan salah seorang ibu atau bapa, hilang tempat tinggal, terpaksa berpindah atau kehidupan anak berubah sepenuhnya.
Kadang-kadang mangsa rasa, “Takpa lah aku yang tahan. Asalkan anak-anak okay. Itu paling penting.”

Tapi dalam keadaan macam ni, keputusan yang dibuat bukan semudah orang luar melihatnya.
Mangsa mungkin sedang cuba menimbang banyak perkara pada masa yang sama. Ye lah mana nak fikirkan keselamatan sendiri, anak-anak lagi, kewangan, tempat tinggal dan masa depan. Semua benda ni berlegar-legar dalam kepala otak.
Sebab itu, daripada memaksa dengan ayat “demi anak, tinggalkan dia”, lebih baik kita tanya: “Apa yang boleh kami bantu supaya kau dan anak-anak lebih selamat?”
3. Tak Ada Kewangan Untuk Berdiri Sendiri
Ini satu lagi perkara yang orang luar selalu terlepas pandang.
Kalau selama ini pasangan yang membayar sewa rumah, bil, makan minum dan keperluan anak, bagaimana mangsa nak pergi kalau dia sendiri tak ada pendapatan atau simpanan? Betul tak?
Lebih-lebih lagi kalau pasangan memang mengawal kewangan.
Contohnya, mangsa tidak dibenarkan bekerja, duit gaji dikawal, akses kepada akaun bank disekat atau setiap perbelanjaan perlu dipersoalkan.
Nak pergi pun perlukan duit. Nak cari tempat tinggal, uruskan keperluan anak dan mulakan hidup baru semuanya memerlukan kos.

Sebab itu, bagi sesetengah mangsa, keputusan untuk meninggalkan perkahwinan bukan semudah yang disangka. Bila sumber kewangan pun dikawal, nak keluar daripada situasi tersebut boleh jadi sangat sukar.
4. Dia Masih Berharap Pasangan akan Berubah
Ini mungkin paling susah untuk orang luar faham.
Selepas berlaku keganasan, ada pelaku yang meminta maaf, menangis, berjanji tidak akan ulang lagi atau berjanji untuk berubah.

Mangsa pula mungkin fikir,
“Dia bukan macam ni sebenarnya.”
“Dia dah janji takkan buat lagi.”
“Maybe kali ni betul-betul dia berubah.”
Ada keadaan di mana keganasan berlaku dalam satu kitaran — berlaku ancaman atau keganasan, kemudian pelaku meminta maaf dan berjanji berubah sebelum tingkah laku tersebut berulang semula.
Jadi bukan semua mangsa terus nampak bahawa mereka sedang berada dalam satu kitaran penderaan.
Ada yang masih berharap hubungan itu boleh diselamatkan.
5. Dah Terlalu Lama Dikawal
Bila seseorang dikawal untuk tempoh yang lama, perkara kecil pun boleh membuatkan mereka rasa takut.

Tak boleh keluar rumah.
Tak boleh jumpa kawan.
Tak boleh telefon keluarga.
Setiap pergerakan diperiksa.
Telefon dipantau.
Semua keputusan perlu dapatkan izin pasangan.
Lama-lama, mangsa mungkin semakin terasing daripada orang yang boleh membantu.
Jadi bila kita nampak dia macam “tak buat apa-apa”, belum tentu dia tak mahu melawan.
Mungkin ruang untuk dia membuat keputusan sendiri pun sudah lama dirampas.
6. Takut Keluarga dan Masyarakat
“Jangan buka aib keluarga.”
“Fikir anak-anak.”
“Sabar dulu.”
“Laki bini gaduh biasa lah.”
Ayat-ayat macam ni mungkin kedengaran biasa. Tapi bagi mangsa, ia boleh membuatkan mereka rasa semakin bersalah untuk bercakap tentang apa yang berlaku.

Ada mangsa yang takut keluarga sendiri tak percaya.
Ada yang takut dicop gagal mempertahankan rumah tangga.
Ada yang malu jika orang tahu.
Dan ada yang takut selepas keluar nanti, masyarakat pula akan bertanya,
“Kenapa baru sekarang nak cerita?”
Sebab itu stigma terhadap keganasan rumah tangga perlu dihentikan.
Mangsa tidak sepatutnya dipersalahkan atas keganasan yang dilakukan terhadap mereka.
7. Tak Tahu Nak Minta Tolong Siapa
Kadang-kadang bukan sebab mangsa tak mahu meminta bantuan.
Dia cuma tak tahu nak mula dari mana.

Nak telefon siapa?
Nak pergi mana?
Kalau buat laporan, apa akan jadi?
Anak-anak macam mana?
Ada tempat perlindungan ke?
Boleh ke dapat bantuan?
Sebab itu sokongan daripada keluarga, kawan dan komuniti sangat penting.
Kalau kita mengetahui atau mengesyaki seseorang sedang berdepan keganasan rumah tangga, jangan terus menghukum atau menyalahkan mereka.
Cuba jadi orang yang mereka boleh percaya.
Jadi, Apa Yang Kita Boleh Buat?
Daripada bertanya,
“Kenapa kau tak tinggalkan dia?”
Cuba tukar kepada,
“Apa yang kau perlukan sekarang?”
Daripada berkata,
“Kalau aku jadi kau, dah lama aku keluar.”
Cuba berkata,
“Kalau kau perlukan tempat untuk pergi, aku boleh cuba bantu.”
Dan paling penting, jangan buat mangsa rasa dia keseorangan.
Kita mungkin nampak dia masih bersama pasangan.
Tapi kita tak nampak ketakutan yang dia tanggung setiap hari.
Jadi, daripada bertanya “kenapa mangsa masih bertahan?”, mungkin soalan yang lebih penting ialah:
“Apa yang kita boleh lakukan supaya dia rasa cukup selamat untuk mendapatkan bantuan?”
Berani Bertindak. #JanganDiam
Melalui Kempen Hentikan Keganasan Rumah Tangga: Berani Bertindak #JanganDiam, masyarakat digalakkan untuk mengenali tanda-tanda keganasan rumah tangga dan mengambil tindakan sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Jika anda atau seseorang yang anda kenali memerlukan bantuan atau ingin mendapatkan maklumat lanjut, hubungi:
Talian Kasih 15999
WhatsApp 019-261 5999
Anda juga boleh memuat turun aplikasi Talian Kasih untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan dan bantuan yang berkaitan.
Berani bertindak. Jangan diam. Kenali tanda-tandanya sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Kerana hubungan yang sihat dibina atas kepercayaan, bukan ketakutan.




