Kenapa Trump serang Brazil?

Kenapa Trump serang Brazil?

SAO PAULO – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Jumaat mengumumkan tarif 50 peratus ke atas import dari Brazil sambil menuduh kepimpinan kiri negara itu merancang “pemburuan sihir” terhadap sekutunya, bekas Presiden Jair Bolsonaro.

Dalam sepucuk surat kepada Presiden Luiz Inacio Lula da Silva pada Rabu, Trump menyatakan bahawa perbicaraan Bolsonaro – yang dituduh cuba merancang rampasan kuasa selepas kalah pilihan raya 2022, “tidak sepatutnya berlaku”.

Trump sebelum ini biasanya mengenakan tarif terhadap negara yang mencatat lebihan dagangan dengan AS, namun Brazil bukan salah satu daripadanya.

Penganalisis berkata, tindakan Trump kali ini lebih bersifat ideologi, bukan ekonomi, khususnya untuk mempertahankan Bolsonaro yang digelar “Trump dari Tropika”.

“Brazil tiba-tiba muncul dalam radar Trump kerana perbicaraan Bolsonaro semakin hampir dan ahli Kongres Republikan membawa isu ini ke Rumah Putih,” kata penganalisis politik dari Yayasan Getulio Vargas, Leonardo Paz kepada AFP.

Anak lelaki Bolsonaro, Eduardo iaitu seorang Ahli Parlimen Brazil yang kini menetap di AS dan aktif melobi kerajaan AS untuk memberi tekanan ke atas kerajaan Lula dan hakim yang mengendalikan kes bapanya.

Lula menyalahkan Eduardo atas ketegangan dua hala, manakala Hakim Mahkamah Agung, Alexandre de Moraes, mengarahkan siasatan sama ada kempen dari luar negara itu mengganggu keadilan.

Moraes merupakan musuh ketat Bolsonaro dan pernah digelar sebagai “diktator” oleh bekas presiden itu.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pula menyatakan pada Mei lalu terdapat “kemungkinan besar” Moraes dikenakan sekatan, selepas beberapa pertembungan beliau dengan kumpulan sayap kanan termasuk Elon Musk dalam isu penularan maklumat palsu.

Bolsonaro menyifatkan Trump sebagai “rakan” dan mendakwa mereka berdua menjadi mangsa “penganiayaan”.

Dalam suratnya kepada Lula, Trump turut mendakwa hubungan perdagangan antara AS dan Brazil sangat tidak adil.

Namun, angka rasmi Brazil menunjukkan AS mencatat lebihan dagangan hampir AS$284 juta (RM1.33 bilion) tahun lalu iaitu satu trend yang konsisten sejak hampir dua dekad.

AS adalah rakan dagang ketiga terbesar Brazil selepas China dan Kesatuan Eropah, dengan import utama dari Brazil termasuk minyak mentah serta produk besi dan keluli separa siap.

Brazil pula mengimport enjin dan mesin bukan elektrik serta bahan api dari AS.

Susulan pengumuman tarif itu, Persekutuan Industri Sao Paulo menyeru tindak balas “tenang” terhadap tindakan Trump yang dianggap “tidak berasaskan ekonomi”.

Lula bagaimanapun menegaskan Brazil bersedia bertindak balas, meskipun Trump memberi amaran akan menaikkan lagi tarif jika Brazil berbuat demikian.

Pada masa sama, Trump turut mengecam apa yang disifatkan sebagai “serangan terhadap kebebasan bersuara” oleh Brazil dan mendakwa Mahkamah Agung negara itu mengeluarkan “ratusan arahan rahsia dan tidak sah” terhadap platform media sosial AS.

Bulan lalu, mahkamah berkenaan memperketat kawalan ke atas media sosial, meningkatkan tanggungjawab platform terhadap kandungan pengguna.

Tahun lalu, Moraes menggantung platform X selama 40 hari kerana gagal mematuhi arahan mahkamah berkaitan penyebaran maklumat palsu.

Rumble, sebuah platform video popular dalam kalangan konservatif dan penyokong kanan termasuk Don Jr., anak Trump, turut digantung kerana enggan menurunkan kandungan pengguna tertentu.

Tindakan Moraes itu dikritik oleh penentang sebagai cubaan menyekat kebebasan bersuara.

Menurut Paz, sidang kemuncak BRICS yang berlangsung di Brazil baru-baru ini juga menjadi faktor ketegangan apabila kumpulan itu mengkritik tindakan tarif Trump yang “sewenang-wenangnya”.

Susulan itu, Trump mengugut untuk mengenakan lebih banyak tarif terhadap negara-negara BRICS.

China, Rusia dan India tidak memberi maklum balas balas, namun Lula tampil mempertahankan prinsip kedaulatan kerajaan BRICS dengan tegas menyatakan bahawa mereka tidak mahu seorang ‘maharaja’

Di sebalik tabir, Brazil sebenarnya sudah berunding dengan Washington selama beberapa bulan untuk mengelakkan perang tarif yang lebih buruk.

Seorang pembantu rapat Lula memberitahu AFP bahawa tindakan Trump terhadap Brazil sebahagiannya berpunca daripada rasa tidak senang terhadap kekuatan BRICS iaitu blok yang kini mewakili hampir separuh populasi dunia dan 40 peratus ekonomi global. – AFP

Scroll to Top