KUALA LUMPUR: Ketua Puteri Umno, Zahida Zarik Khan, berkata Umno tidak perlu menjadi baja kepada PPBM yang disifatkannya sebagai “pokok parasit”.
Beliau mengingatkan perwakilan sayap itu bahawa PPBM merupakan parti serpihan Umno.
“PPBM tumbuh daripada benih yang tersisih dari pokok asal Umno. Ia hidup hanya kerana mendapat baja daripada DAP dan PKR.
“Apakah kita perlu menjadi baja kepada pokok dedalu parasit, yang menumpang kita dan pasti akan ‘membunuh’ kita pada masa depan,” katanya ketika berucap dalam persidangan Puteri Umno bersempena Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU2020) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
PAU2020 menjadi tumpuan kerana Umno dikatakan akan menentukan nasib kerjasamanya dengan PPBM.
Pada kedudukan sekarang, Umno kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin, sehingga Parlimen dibubarkan untuk PRU15.
Sementara itu, Zahida menegaskan ketetapan tidak akan bekerjasama dengan DAP dan PKR tidak boleh dipertikaikan.
“Cuma kita hanya tambah satu lagi, ‘No DAP’, ‘No PKR’, dan ‘No PPBM’,” katanya.