suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Aliran trafik di lebuh raya utama termasuk di sempadan negara dilaporkan lancar dan terkawal setakat jam 9.14 pagi ini, susulan pelaksanaan larangan pemanduan kenderaan barangan dan berat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam kenyataan memaklumkan, pergerakan di Lebuhraya Utara-Selatan (LUS) bagi jajaran Utara, Tengah dan Selatan berada dalam keadaan baik, begitu juga lebuh raya bertol sekitar Lembah Klang.
Bagaimanapun, katanya, berlaku hujan di beberapa lokasi sekitar Timur Semenanjung namun tidak menjejaskan aliran trafik.
“Di Pantai Timur, aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, LPT1 dan LPT2 (E8) turut bergerak lancar tanpa sebarang gangguan di kedua-dua arah.
“Trafik di semua lebuh raya utama negara termasuk di sempadan dilaporkan lancar dan terkawal setakat ini,” kata kenyataan itu, hari ini.
Dalam pada itu, LLM menasihatkan pengguna jalan raya supaya memberi tumpuan ketika memandu, mengekalkan jarak selamat serta sentiasa berwaspada terhadap sebarang halangan di hadapan selain memberi isyarat sebelum menukar lorong.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian hotline 24 jam 1800-88-7752, saluran WhatsApp LLM Info Trafik, Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia, laman web rasmi www.llm.gov.my selain aplikasi TUJU dan MYJalan,” katanya.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, JPJ akan melaksanakan larangan pemanduan ke atas kenderaan barangan dan berat sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 14 hingga 15 Februari dan 21 hingga 22 Februari ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata langkah itu bagi mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan kelancaran trafik sempena musim perayaan terbabit.
Menurutnya larangan pergerakan dikenakan ke atas jenis kenderaan yang dibahagi kepada tiga jenis, iaitu kategori 1, larangan sepanjang masa pada tarikh terbabit; kategori 2, larangan bermula 8 pagi ke 8 malam; dan kategori 3 dari 6 petang hingga 6 pagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd



