Kenduri arwah bapa bertukar untuk Harirah, suami

Kenduri arwah bapa bertukar untuk Harirah, suami

am@hmetro.com.my

Padang Rengas: Wanita warga emas yang maut bersama suaminya dalam nahas di Kilometer 64, Jalan Ipoh-Taiping dekat Padang Rengas, semalam, baru kematian bapanya kurang sebulan lalu.

Wan Aniza Nora Wan Abd Kadir, 54, berkata, selain bapa, arwah kakak iparnya iaitu Harirah Mahmud @ Abdul Samad, 65, juga baharu kematian sepupu yang menetap di Pulau Pinang, kira-kira seminggu lalu.

Wan Aniza berkata, Harirah sebelum ini ada merancang untuk mengadakan kenduri arwah bapanya yang meninggal dunia 11 April lalu, pada 31 Mei ini, namun susulan nahas berkenaan, kenduri arwah itu akan turut meliputi buat Harirah dan suami.

“Minggu lepas saya dan Harirah berjumpa di Pulau Pinang kerana sepupu meninggal dunia, manakala bapa kepada Harirah masuk hari ini (6 Mei) baru 24 hari meninggal dunia. Tak sangka dalam tempoh sebulan banyak kejutan.

“Dia (Harirah) beritahu 31 hari bulan ini ingatnya hendak buat kenduri arwah, hendak berkumpul satu keluarga, hendak berkumpul empat beradik yang kata Harirah untuk bincangkan hal pusaka.

“Sekarang macam sudah hilang punca memandangkan Harirah adalah anak sulung dari empat beradik,” katanya ketika ditemui pemberita sewaktu pengebumian suami isteri itu, di sini malam tadi.

Wan Aniza berkata, nahas berlaku apabila Harirah dan suami, Amir Sharifuddin Md Zahari, 68, dalam perjalanan pulang selepas menguruskan hal berkaitan pusaka di pusat pengumpulan sawit (REM) di Matang, Taiping.

Katanya, suami isteri itu juga sepatutnya singgah di kediamannya di Pokok Assam sebelum pulang, namun penantian itu dikejutkan dengan mesej diterima 12 tengah hari daripada ahli keluarga lain, tentang nahas menimpa Harirah dan suami.

“Hari ini (hari kejadian) suami saya beritahu yang Harirah dan suaminya hendak datang ke Taiping untuk uruskan sawit pusaka. Sebelum bertolak Harirah ada WhatsApp suami saya yang menjadi adik kandungnya, mengatakan hendak berbincang mengenai sawit pusaka di REM.

“Apabila hampir tengah hari mereka tidak muncul singgah di rumah, saya mulanya fikir mereka tak datang singgah disebabkan mungkin hendak ambil cucu dari sekolah. Ingatkan dia hendak datang rumah selepas pergi REM.

“Namun biasanya kalau datang berdua ke rumah saya di Pokok Assam, mereka akan naik kereta. Terkejut juga bila dapat tahu mereka berdua kemalangan motosikal sebab biasanya abang ipar (Amir Sharifuddin) sahaja yang naik motosikal jika berseorangan ke Taiping,” katanya.

Jenazah suami isteri yang berasal dari Batu 16, Padang Rengas itu disolatkan di Masjid Al-Hadhari, Padang Rengas, sebelum selamat dikebumikan malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Panjang, Padang Rengas.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan suami isteri warga emas maut apabila motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta yang dipercayai hilang kawalan dari arah bertentangan di KM 64, Jalan Ipoh- Taiping dekat Padang Rengas, semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top