Kenneth yakin sentuhan Salim bantu skuad remaja

Kenneth yakin sentuhan Salim bantu skuad remaja

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen percaya pengalaman luas dimiliki jurulatih baharu perseorangan remaja wanita, Salim Samion mampu memberi nilai tambah besar kepada program pembangunan pemain muda negara.

Menurut Kenneth, Salim bukan sahaja mempunyai pengalaman membangunkan pemain dalam sistem berbeza, malah pernah bersama skuad perseorangan Thailand yang berjaya melahirkan ramai pemain wanita bertaraf dunia.

Katanya, pengalaman itu amat penting dalam usaha memperkukuhkan struktur pembangunan pemain perseorangan wanita di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

“Dengan pengalaman yang beliau bawa, beliau pernah menjadi sebahagian daripada sistem berbeza termasuk dalam pembangunan pemain. Dan pengalaman itulah yang saya mahu ada di sini kerana beliau pernah bekerja dalam budaya berbeza serta dalam sistem yang berjaya melahirkan kejayaan.

“Saya berharap dan rasa positif beliau dapat membawa apa yang dipelajarinya ke dalam sistem ini. Saya sangat positif mengenai perkara ini dan amat gembira beliau kini menjadi sebahagian daripada pasukan kami,” katanya selepas ditemui selepas sesi latihan di ABM, di sini, hari ini.

Tambahnya, fokus utama Salim adalah membantu pembangunan pemain perseorangan wanita remaja dengan memberi tumpuan terhadap aspek teknikal, taktikal serta pembangunan menyeluruh pemain.

“Fokus utama Coach Salim adalah dalam perseorangan wanita, terutama pembangunan pemain junior kami. Saya rasa beliau mempunyai banyak pengalaman dan saya benar-benar menantikan proses seterusnya bersama beliau.

“Peranan utama beliau adalah menyertai program perseorangan wanita dan memberi fokus kepada pembangunan jangka panjang pemain muda wanita kami,” katanya.

Mengulas sama ada pelantikan itu dibuat sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Dunia Junior di Mesir tahun ini, Kenneth menjelaskan ia bukan perancangan jangka pendek sebaliknya sebahagian daripada pelan pembangunan jangka panjang Persatuan Badminton Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top