Kenyataan bertentangan kepimpinan DAP, datang dari Team B – Ahmad Zahid

Kenyataan bertentangan kepimpinan DAP, datang dari Team B – Ahmad Zahid

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa pelbagai kenyataan dikeluarkan yang bertentangan daripada kepimpinan utama DAP datangnya daripada ‘Team B’.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, DAP juga mempunyai ‘Team B’ dalam parti mereka.

Beliau turut menyokong dengan kenyataan dikeluarkan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang parti itu tidak perlu takut dengan DAP.

“Betul Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Mohamad Hasan kata nak takut dengan DAP ini pasal apa? Yang keluarkan kenyataan macam-macam itu ‘Team B’ dalam DAP.

“Mereka pun ada Team B juga. Saya jumpa sendiri dengan Setiausaha Agungnya (Anthony Loke),” katanya semasa ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid juga menyokong dengan kata-kata dilontarkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh terhadap seorang pemimpin DAP.

“Saya setuju Akmal jawab ‘lu ingat lu siapa?’. Itu bagus, itulah anak jantan,” katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menasihatkan Dr Akmal, agar sentiasa berhati-hati terhadap segala tindakan dilakukannya.

Beliau turut memberi menyifatkan ‘kenakalan’ Dr Akmal itu akan menyebabkan orang lain mengaitkan dengan dirinya.

“Kadang-kadang, kalau anak tu baik, orang ramai kata ‘anak siapa yang baik tu? Oh, itu anak bapa’.

“Kalau anak itu nakal, dia akan kata ‘bapa siapa itu?’. Akmal, ayahanda pernah jadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Dr Akmal beruntung tak masuk ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).

“Ayahanda masuk ISA. Jangan terpijak kulit pisang macam ayahanda,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top