Kenyataan ‘Jangan Bergaul Dengan Orang Dari Broken Home’, Shila Amzah Tegur Stigma Negatif Netizen – “Kami Juga Layak Dicintai”

Kenyataan ‘Jangan Bergaul Dengan Orang Dari Broken Home’, Shila Amzah Tegur Stigma Negatif Netizen – “Kami Juga Layak Dicintai”

Penyanyi terkenal, Shila Amzah mencuri perhatian apabila tampil lantang menegur stigma masyarakat terhadap individu daripada latar belakang keluarga berpecah atau ‘broken home’.

Menerusi perkongsian di platform Threads, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amzah, 35, meluahkan rasa terkilan terhadap pandangan segelintir pihak yang menganggap golongan berkenaan sebagai tidak wajar didekati.

Menurut isteri kepada pempengaruh, Ubaidillah Mz ini berkata majoriti rakan terdekatnya terdiri daripada individu yang dibesarkan dalam keluarga ‘broken home’ serta anak yatim.

Shila turut menegaskan mereka tetap berhak menerima kasih sayang dan peluang yang sama seperti orang lain.

“Circle saya memang terdiri daripada mereka yang datang daripada latar belakang broken home atau anak yatim. Kita semua layak menerima kasih sayang yang sama.

“Apa yang berlaku bukan atas kehendak atau pilihan kami. Trauma yang terpendam itu pula bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui,” tulisnya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Patah Seribu itu turut menyifatkan pengalaman hidup yang dilalui menjadikan mereka lebih kuat dan matang dalam menilai kehidupan.

Shila pada masa sama meluahkan rasa syukur kerana akhirnya menemui kelompok rakan yang saling memahami, menyokong dan menerima satu sama lain tanpa prejudis.

“Saya benar-benar bersyukur akhirnya menemukan circle sendiri. Terima kasih kerana sentiasa ada,” katanya.

Scroll to Top