am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) hari ini menyifatkan kenyataan sebuah organisasi agama berkaitan peletakan pegawai Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) di jabatan kerajaan mengelirukan kefahaman umum dan seperti tidak memahami kedudukan agama Islam di negara ini.
Presiden PPMM Muhamad Hisham Marzuki berkata, kenyataan yang ditimbulkan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) dalam isu itu juga mengecewakan.
Katanya, ada pihak digerakkan oleh pihak tertentu untuk terus mempermainkan propaganda mengenai Islam atau undang-undang syariah tidak mempunyai tempat di negara tercinta.
“Islam didakwa hanya layak untuk tujuan upacara kecil sahaja, berbau Islamofobia, menyebabkan kebencian terhadap umat Islam dan badan agama di Malaysia.
“Tidak ada dalam Perlembagaan yang menghalang tadbir urus dan dasar yang baik berdasarkan prinsip Islam. Persepsi dalam kenyataan MCCBCHST mengelirukan kefahaman umum dan tidak mengikut kedudukan Islam seperti yang dipegang dalam kes-kes yang sudah diputuskan di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Hisham berkata, amat jelas dalam peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menekankan kedudukan tinggi agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan.
“Malah banyak kenyataan kehakiman yang mengulangi pendirian sedemikian mengenai kewajipan kerajaan dalam melaksanakan kedudukan perlembagaan Islam.
“Pada 2005, dalam kes Lina Joy melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors, mengatakan ‘Islam bukan sekadar himpunan dan ritual semata-mata tetapi ia adalah cara hidup yang lengkap meliputi semua bidang aktiviti manusia, swasta atau awam, undang-undang, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman’.
“Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan dalam kes The Herald, pada 2013 pergi lebih jauh untuk menyatakan pandangan bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan bukan semata-mata bersifat istiadat, malah ia mengenakan kewajipan positif ke atas Persekutuan untuk melaksanakan dengan tindakan negeri yang sewajarnya, kepada perintah Islam dan dapat memudahkan serta menggalakkan orang ramai menjalani kehidupan mereka mengikut perintah Islam rohani dan kehidupan seharian.
“Kedua-dua keputusan penting ini tidak pernah ditolak oleh mana-mana keputusan mahkamah tertinggi: sama ada dalam kes Indira Gandhi, kes Iki Putra Mubarak, mahupun dalam kes Nik Elin, seperti yang didakwa secara tidak benar oleh MCCBCHST,” katanya.
Justeru, beliau berkata, adalah lebih baik untuk semua pihak menerima, menghormati dan mencari keharmonian dalam pernyataan yang jelas dalam Perlembagaan ini, berbanding mahu mencabar undang-undang tertinggi itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



