Kenyataan Sanusi tidak boleh dipandang ringan – Azalina

Kenyataan Sanusi tidak boleh dipandang ringan – Azalina

SHAH ALAM – Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa ‘Cina ada China, India ada India, Kemboja ada Kemboja, Melayu hanya ada Malaysia’ tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi memberi tanggapan yang salah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, retorik sedemikian boleh menimbulkan gambaran yang mengelirukan terhadap kedudukan rakyat Malaysia berbilang kaum.

“Retorik sedemikian memberikan gambaran seolah-olah rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India mempunyai tanah air lain, sedangkan hanya orang Melayu benar-benar memiliki Malaysia.

“Hakikatnya, bagi jutaan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India, Malaysia bukan tempat persinggahan. Malaysia ialah tanah air mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) mengeluarkan kenyataan terbabit dalam satu kempen ceramah bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Azalina turut menjelaskan, Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu dan hak Melayu serta Bumiputera.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) memaklumkan, Perlembagan yang sama turut menjamin hak dan kedudukan sah setiap warganegara tanpa mengira keturunan.

“Setiap warganegara yang sah mempunyai tanah air yang sama, dilindungi oleh Perlembagaan yang sama dan berhak menjalani kehidupan dengan aman serta bermaruah,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau berpandangan, rakyat Negeri Sembilan berhak menikmati kempen yang membincangkan perkara yang benar-benar mempengaruhi kehidupan mereka.

“Antaranya, kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pendidikan, kesihatan, pembangunan setempat dan masa hadapan anak-anak,” menurutnya lagi.

Beliau turut memberitahu, Barisan Nasional (BN) tidak memerlukan politik yang menakut-nakutkan rakyat untuk memperolehi sokongan, sebaliknya parti terbabit menawarkan kestabilan, pengalaman, kesederhaan dan sebuah negara memberikan tempat kepada setiap warganegara.

“BN ialah rumah bersama seluruh rakyat Malaysia. Kita tidak akan membenarkan sesiapa merobohkan rumah ini demi keuntungan politik sementara,” tegas Azalina lagi.

Scroll to Top