PETALING JAYA – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Chang Lih Kang menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini, yang menyentuh sensitiviti kaum adalah tidak wajar dan boleh melukakan hati rakyat.
Beliau berkata, ahli politik perlu lebih sensitif dalam mengeluarkan kenyataan, terutamanya ketika kempen pilihan raya bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
“Walaupun kita tahu sekarang adalah masa kempen pilihan raya, kenyataan seperti itu tidak sesuai dan tidak patut untuk negara Malaysia.
“Jadi saya rasa tidak patutlah. Saya sebagai seorang ahli politik mungkin tidak terkesan, tetapi bagi orang biasa, kenyataan seperti itu boleh menyakitkan hati,” katanya kepada media selepas merasmikan program TechnoMART Malaysia: High Tech Financing 2026, di sini hari ini.
Lih Kang yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata kenyataan sedemikian mampu memberi kesan kepada rakyat, terutamanya kepada segelintir kaum yang telah lama menetap dan menyumbang kepada pembangunan negara ini selama beberapa generasi.
Mengulas mengenai program TechnoMART Malaysia, Chang berkata sebanyak RM5 bilion dana pembiayaan disediakan menerusi kerjasama 15 organisasi termasuk agensi pembiayaan dan institusi kewangan bagi menyokong pembangunan syarikat pemula niaga serta inovator.
Katanya kemudahan pembiayaan itu bukan diberikan secara automatik, sebaliknya tertakluk kepada syarat dan kriteria ditetapkan setiap organisasi terlibat, untuk tempoh sekitar satu setengah tahun.
Beliau berkata TechnoMART diwujudkan sebagai platform nasional menghubungkan inovator, pelabur, agensi kerajaan dan institusi kewangan bagi mengatasi ekosistem inovasi yang sebelum ini bergerak secara berasingan.
“Ia bagi memastikan Malaysia bukan sekadar menjadi pengguna teknologi tetapi mampu menjadi pencipta dan pemilik teknologi sendiri,” katanya. – Bernama



