rnoraina@hmetro.com.my
Gombak: Tindakan seorang lelaki meragut rantai emas dipakai wanita membawa padah apabila dia dicekup suami wanita terbabit dalam kejadian di Pekan Rawang, di sini, pada Ahad lalu.
Kejadian yang berlaku 5.25 petang itu turut tular apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dimuat naik di media sosial.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, mangsa berusia 45 tahun diragut ketika hendak memasuki kenderaan selepas selesai membeli barang.
“Suspek bertindak merentap rantai emas mangsa sebelum cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan oleh suami mangsa berusia 55 tahun dengan bantuan orang awam.
“Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada dan lutut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati kegiatan itu dilakukan suspek berusia 31 tahun bersama seorang lagi rakannya yang melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.
Katanya, suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Noor Ariffin berkata, polis kini sedang giat memburu suspek yang masih bebas.
Beliau meminta saksi dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Hakimie Razally di talian 011-33352585 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222.
© New Straits Times Press (M) Bhd