Nazhafah Diri & Integriti Melalui Juz 1
Oleh USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
ALHAMDULILLAH, kita telah diberi kesempatan untuk bersama Ramadan 1443 Hijriyyah. Semoga kita semua berjaya mendidik serta membersihkan diri daripada segala mazmumah dan tahap keimanan serta integriti makin bertambah.
Integriti seseorang itu juga boleh diukur menerusi tahap kepatuhan kepada sesuatu arahan yang ditetapkan. Pelanggaran terhadap arahan hakikatnya akan menyebabkan padah yang buruk kepada diri sendiri apatah lagi jika arahan itu datangnya daripada Allah SWT.
Advertisement
Renungilah kisah golongan Yahudi yang melanggar ketetapan Allah SWT sehingga bertukar menjadi kera yang hina. Firman Allah SWT:
وَلَقَدۡ عَلِمۡتُمُ ٱلَّذِینَ ٱعۡتَدَوۡا۟ مِنكُمۡ فِی ٱلسَّبۡتِ فَقُلۡنَا لَهُمۡ كُونُوا۟ قِرَدَةً خَـٰسِـِٔینَ. فَجَعَلۡنَـٰهَا نَكَـٰلࣰا لِّمَا بَیۡنَ یَدَیۡهَا وَمَا خَلۡفَهَا وَمَوۡعِظَةࣰ لِّلۡمُتَّقِینَ.
Maksudnya: “Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar larangan pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: Jadilah kamu kera yang hina. Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu, orang-orang yang datang kemudian dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang hendak bertakwa”. (Al-Baqarah: 65-66)
Setelah golongan Yahudi meminta supaya hari Sabtu dijadikan hari terpilih untuk ibadat mereka, lalu Allah perkenankan dan melarang daripada aktiviti selainnya. Allah menguji mereka dengan menaikkan ikan yang terlalu banyak di pinggir pantai berhampiran penempatan mereka.
Sekelompok mereka telah melanggar arahan lantas meninggalkan ibadah dan sibukkan diri dengan menangkap ikan.
Sekelompok lagi masih mengikut arahan namun tetap bergaul mesra bersama golongan yang tidak patuh. Sementara kelompok ketiga, mereka berlepas diri dan keluar dari tempat tersebut. Allah SWT kemudiannya membalas keingkaran mereka dengan akibat yang buruk sehingga mereka bertukar menjadi kera sebagaimana pandangan jumhur ulama. Keingkaran ini melambangkan diri mereka sentiasa berada dalam kekotoran jiwa jauh sekali untuk berintegriti.
Islam sangat menekankan soal integriti dalam kehidupan manusia melalui pemupukan nilai-nilai jujur, bertanggungjawab dan kebolehpercayaan dalam memelihara kepentingan awam tanpa mengambil kesempatan untuk kepentingan diri.
Jika merujuk kepada Institut Integriti Malaysia, integriti itu sendiri merujuk perihal sifat individu dan organisasi yang sempurna berteraskan nilai murni seperti jujur, benar, amanah, adil, bertanggungjawab, telus, cekap, amanah dan bijaksana. Justeru, integriti mempunyai kaitan erat dengan etika yang perlu kepada penerapan nilai-nilai Islam dalam perkhidmatan awam mahupun swasta.
Sekiranya integriti hilang dalam keperibadian seseorang, sudah tentu masyarakat akan porak-peranda dan pelbagai saraf termasuk berita palsu menjadi makan minum masyarakat.
Penyebaran fitnah akan berleluasa dan manusia hilang ketakutan terhadap ancaman siksa. Dalam hal ini, Rasulullah SAW ada menyebut ancaman terhadap orang yang hilang integritinya kerana suka menyebarkan berita palsu:
إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا يَزِلُّ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِقِ
Maksudnya: “Seseorang hamba itu apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenaran), maka dia tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.” (Riwayat Bukhari)
Semoga sifat suka mematuhi arahan yang telah ditetapkan menjadi amalan kehidupan kerana ianya adalah asas kebersihan diri seseorang.
Perbanyakkan amalan kebaikan dan sentiasa berdoa sepanjang Ramadan yang mulia agar diberi taufik serta petunjuk untuk sentiasa kekal di atas jalan kebenaran dan menjauhi segala jalan kebatilan. – HARAKAHDAILY 3/4/2022





