PETALING JAYA: Transformasi bola sepak Selangor kini diterjemahkan menerusi pelan tindakan tersusun di bawah kepemimpinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang juga Pengerusi Selangor FC.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pendekatan progresif yang dibawa baginda dilihat merombak keseluruhan ekosistem bola sepak negeri itu, daripada pentadbiran sehingga pembangunan bakat muda.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menyifatkan kepemimpinan Tengku Amir Shah sebagai pemacu utama kebangkitan dan penstrukturan semula bola sepak Selangor.
Jelasnya, perubahan yang dilaksanakan bukan bersifat kosmetik, sebaliknya melibatkan pembaharuan menyeluruh merangkumi struktur organisasi, pembangunan akar umbi serta pengukuhan aspek profesionalisme.
“Bukan sahaja di peringkat kelab tetapi juga di peringkat persatuan. Bukan sahaja di peringkat profesional tetapi juga di peringkat akar umbi, wanita, jurulatih, pengadil dan sebagainya.
“Perubahan-perubahan yang baginda jalankan di Selangor agak menyeluruh dari seluruh pelusuk untuk beberapa tahun kebelakangan ini.
“Bagi saya, kita amat berbangga dengan kemajuan dan juga kepemimpinan RMS dan memang seluruh Selangor menyokong kepemimpinan baginda. Sokongan yang diberikan juga sangat baik dari penyokong, pihak swasta, badan korporat, kerajaan dan juga badan bukan kerajaan NGO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Legasi yang menyaksikan pelancaran buku Gemilang Sejarah Perjalanan Bolasepak Selangor di Stadium Merdeka, kelmarin.
Majlis bersejarah itu turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan melancarkan naskhah berkenaan.
Dalam titah baginda, buku Gemilang itu bukan sekadar catatan sejarah, malah menjadi simbol denyut nadi perjuangan, pengorbanan serta kebanggaan pasukan bola sepak Selangor sejak dahulu hingga kini.
Tengku Amir juga dengan jelas menyatakan bahawa tidak berminat untuk mengisi kekosongan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang kosong buat masa ini.
Sebaliknya, baginda menegaskan hanya berminat dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan mahu kekal fokus dengan komitmen bersama pasukan itu.
“Oh tidak, saya tidak berminat (jawatan Presiden FAM). Saya berminat dengan FAS dan banyak yang kita mahu capai buat masa ini.
“Banyak yang perlu kita lakukan untuk pengadil kerana saya percaya kita boleh mendapatkan pengadil dan jurulatih yang lebih baik, bukan setakat pemain tetapi keseluruhan ekosistem bola sepak.
“Itu yang saya fikir saya boleh sumbangkan dengan lebih baik daripada FAS. Jadi itu fokus saya buat masa ini di bawah FAS,” kata Tengku Amir Shah. – UTUSAN




