hafizithnin@mediaprima.com.my
RAWATAN pergigian dalam kalangan kanak-kanak sebenarnya perlu dilakukan pakar pergigian.
Ini kerana untuk pesakit kanak-kanak, terdapat cara rawatan dan keadaan gigi yang berbeza dengan orang dewasa.
Pakar Pergigian Pediatrik Avisena Women’s & Children’s Specialist Hospital, Dr Sharifah Wade’ah Wafa Syed Saadun Tarek Wafa berkata, pergigian pediatrik adalah satu bidang kepakaran dalam pergigian yang memberi tumpuan kepada kumpulan kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah.
Jelasnya, kepakaran itu memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan mulut bayi, kanak-kanak dan remaja termasuk mereka yang mempunyai keperluan kesihatan khas.
“Kepakaran ini amat penting dalam memastikan kesihatan mulut kanak-kanak terjaga sejak dalam kandungan, sehingga remaja.
“Perkhidmatan dan rawatan yang diberikan termasuk bagi menangani kanak-kanak yang fobia atau kurang memberikan kerjasama terhadap rawatan pergigian.
“Selain itu, penjagaan kesihatan mulut pesakit dengan keperluan perubatan khas termasuk kecacatan fizikal dan perkembangan. Ia juga bagi membantu memberi rawatan kepada kanak-kanak bermasalah perubatan seperti penyakit jantung, dan kanser,” katanya.
Jelasnya, selain itu pemantauan pertumbuhan dan perkembangan orofasial, pencegahan dan rawatan karies gigi dan pergigian hospital bagi kes kompleks boleh dilakukan pakar di dalam bidang itu.
“Pakar pergigian pediatrik juga menangani kes elektif dan kecemasan yang memerlukan bius umum dirawat di dewan bedah. Pakar pergigian pediatrik juga menjalankan tugas atas panggilan (on-call) di Jabatan Kecemasan hospital selepas waktu pejabat untuk kes kecemasan seperti kecederaan mulut dan muka serta bengkak muka akibat gigi bernanah.
“Di Malaysia, pakar pergigian pediatrik perlu berdaftar dan diiktiraf Majlis Pergigian Malaysia (MDC). Pergigian pediatrik adalah satu daripada 12 kepakaran pergigian yang diiktiraf di Malaysia,” katanya.
Katanya, kesihatan mulut kanak-kanak adalah asas kepada kesihatan keseluruhan mereka. Ia termasuk memastikan pencegahan awal masalah karies gigi dan masalah perkembangan seperti maloklusi (susunan gigi tidak sempurna).
“Rata-rata pakar pergigian pediatrik, mengamalkan pendekatan mesra kanak-kanak bagi membantu mengurangkan rasa takut terhadap rawatan pergigian dan menjadikan lawatan ke klinik sebagai pengalaman yang positif.
“Bagi kanak-kanak dengan keperluan khas pula, golongan ini sangat memerlukan pendekatan rawatan yang khusus dan ini dapat disediakan pakar pergigian pediatrik,” katanya.
Beliau berkata, selain memberikan rawatan, pakar pergigian pediatrik juga memainkan peranan penting dalam mendidik ibu bapa dan masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan mulut sejak bayi.
“Masih ramai ibu bapa yang belum cakna dengan kehadiran pakar pergigian pediatrik di Malaysia. Ramai yang belum tahu di mana mereka boleh mendapatkan perkhidmatan pakar pergigian pediatrik.
“Di Malaysia, hanya terdapat kira-kira 100 pakar pergigian pediatrik. Majoriti pakar pergigian pediatrik bertugas di Kementerian Kementerian Malaysia, 40 peratus di universiti bertugas sebagai pensyarah, manakala 10 peratus adalah pakar di hospital dan klinik pergigian swasta,” katanya.
Katanya, Majlis Pergigian Pediatrik Malaysia (MAPD) kini dalam proses untuk mengemas kini data dan lokasi pakar pergigian pediatrik yang berdaftar.
Senarai ini boleh diperoleh di laman sesawang MAPD selewat-lewatnya pada tahun ini, bagi memudahkan ibu bapa dan masyarakat mencari dan mendapatkan perkhidmatan pakar pergigian pediatrik yang diiktiraf.
© New Straits Times Press (M) Bhd




