Kepuasan baladewa dan baladewi Dewa 19

Kepuasan baladewa dan baladewi Dewa 19

KUALA LUMPUR – Dua malam terindah pasti menjadi momen yang tidak boleh dilupakan buat peminat tegar atau baladewa dan baladewi kumpulan pemuzik terkenal Indonesia, Dewa 19 yang membuat Konsert Jelajah Ulang Tahun ke-30 Tahun Dewa19 yang berlangsung Stadium Axiata Arena Bukit Jalil di sini pada Jumaat dan semalam.

Biarpun hujan setiap petang, ia bukan halangan untuk sekitar 8,000 penonton hadir menyaksikan kehandalan lima vokalis hebat Ahmad Dhani, Virzha, Once Mekel, Ari Lasso dan Ello buat pertama kali bergandingan dalam sebuah konsert mega di Malaysia.

Berikan kepuasan maksimum kepada penonton, Dewa19 ternyata berjaya memukau ramai dengan mendendangkan lebih 35 buah lagu-lagu hitsnya seperti Larut, Pupus, Sedang Ingin Bercinta dan Roman Picisan.

Sepanjang konsert yang berlangsung sekitar tiga jam, Once muncul antara vokalis yang paling mendapat sorakan dan sambutan.

“Sudah lama saya tidak menjejakkan kaki di Malaysia. Ini malam terbaik.

“Tanpa anda semua, kami bukan apa-apa. Terima kasih Malaysia,” katanya ringkas usai menyanyikan salah satu lagu popularnya bersama Dewa19, Roman Picisan.

Penyanyi, Ahmad Dhani melakukan persembehanan pada Konsert Jelajah 30 Tahun Dewa 19 di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2022.

Once atau nama sebenarnya Elfonda Mekel, 52, merupakan salah satu vokals yang berjaya meledakkan Dewa19 menerusi album Bintang Lima sekitar tahun 2000.

Sementara itu, kehebatan Ari Lasso, 49, di atas pentas tidak perlu dipertikaikan lagi kerana momentum energi dan lontaran vokalnya masih hebat seperti sebelum ini.

Menerusi konsert sama, dia menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu antaranya ialah Elang, Kirana dan Satu Hati.

Dalam pada itu, nyanyian Virzha menerusi lagu Larut, Aku Milikmu dan Bunga juga tidak kurang hebatnya di atas pentas.

Ello pula, yang merupakan vokalis termuda harus diberikan pujian kerana berjaya menambat emosi penonton dengan vokal mantapnya.

Ahli kumpulan Dewa 19 melakukan persembehanan pada Konsert Jelajah 30 Tahun Dewa 19 di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2022.

Selain empat vokalis tersebut, Ahmad Dhani yang bermain keyboard turut mempersembahkan lagu popularnya bersama Dewa19 antaranya Sedang Ingin Bercinta dan Hadapi Dengan Senyuman.

Memenuhi permintaan luar biasa peminat, konsert yang pada awalnya direncanakan hanya satu malam tersebut berlangsung selama dua hari, pada 9 dan 10 September di lokasi sama.

Kali terakhir Dewa 19 membuat persembahan di Malaysua ialah pada tahun 2019 di Stadium Melawati, Shah Alam tanpa kehadiran Ahmad Dhani yang ketika itu terjebak kes mahkamah sehingga berdepan hukuman penjara. – MalaysiaGazette

Peminat kumpulan popular Indonesia, Dewa 19 teruja mendengar persembahan kumpulan tersebut pada Konsert Jelajah 30 Tahun Dewa 19 di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2022.