Keputusan ajaran GISBH sesat dibawa ke Muzakarah Fatwa Negeri Sembilan

Keputusan ajaran GISBH sesat dibawa ke Muzakarah Fatwa Negeri Sembilan

am@hmetro.com.my

Seremban: Keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang memutuskan ajaran ahli GISBH Holdings (GISBH) sesat akan dibawa ke Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan akhir bulan ini.

Mufti Negeri Sembilan Prof Datuk Dr Mohd Faudzinaim Badarudin berkata, Jawatankuasa Fatwa negeri akan melihat keperluan atau membuat keputusan sama ada satu fatwa khusus berkaitan GISBH perlu dikeluarkan atau sebaliknya.

“Setakat ini keputusan MKI itu belum disampaikan secara rasmi kepada peringkat negeri,” katanya di sini, hari ini.

Beliau memberi reaksi itu bagi mengulas kenyataan Pengerusi MKI Datuk Nooh Gadut bahawa ajaran yang dibawa oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan pengikutnya atau mana-mana orang daripada syarikat, firma, pertubuhan, persatuan, atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengannya atau mana-mana individu lain yang mempunyai ciri penyelewengan adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mengulas lanjut, Mohd Faudzinaim berkata, setakat ini keputusan yang dibuat di Negeri Sembilan adalah seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun bahawa kerajaan negeri masih merujuk kepada fatwa al-Arqam 2016 bagi tujuan penguatkuasaan terhadap pengikut GISBH.

“Penguatkuasaan dan pendakwaan di mahkamah terhadap pengikut GISBH adalah berdasarkan warta 2016,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top