Kota Kinabalu: Mahkamah Tinggi di sini membatalkan keputusan koroner yang membenarkan peguam bagi tertuduh kanak-kanak menjadi pihak berkepentingan dalam inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Bagaimanapun, mahkamah menyatakan pihak-pihak terbabit bebas untuk memperbaharui permohonan mereka di hadapan koroner baharu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada semua pihak, hari ini.
Ia susulan semakan yang difailkan oleh pasukan peguam keluarga Zara dan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS).
“Apa-apa perintah yang dibuat berkaitan sebarang permohonan dalam inkues terbabit adalah dibatalkan. Pihak-pihak terbabit bebas untuk memperbaharui permohonan mereka di hadapan koroner baharu,” katanya.
Duncan berkata, dalam kes ini, koroner membuat perintah menerima peguam bagi tertuduh kanak-kanak sebagai pihak berkepentingan dan membenarkan mereka mengambil bahagian dalam prosiding inkues.
“Tidak lama selepas itu, beliau (koroner terdahulu) menarik diri atas alasan kepentingan peribadi dalam perkara itu.
“Selepas berpandangan bahawa beliau tidak boleh meneruskan kes itu, adalah tidak wajar untuk beliau memutuskan isu substantif yang sepatutnya diserahkan kepada pertimbangan Koroner baharu, kerana tindakan itu sama seperti membuat keputusan bagi pihak koroner akan datang dan menjejaskan prinsip kesaksamaan,” katanya.
Mahkamah juga menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) terhadap SLS.
Duncan berkata, walaupun SLS hadir dalam inkues ini hanya sebagai pemerhati, dengan peranannya terhad kepada memerhati prosiding dan membantu mahkamah jika dijemput, Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi untuk memanggil dan memeriksa rekod mana-mana prosiding di hadapan mahkamah bawahan bagi memastikan ketepatan, kesahan atau kewajaran sebarang penemuan, hukuman atau perintah, serta keteraturan prosiding.
Bidang kuasa penyeliaan ini boleh dilaksanakan atas usul Mahkamah sendiri. Dalam konteks itu, mana-mana pihak boleh membawa sesuatu isu kepada perhatian Mahkamah untuk pertimbangan.
“Memandangkan dimensi kepentingan awam dalam perkara ini dan peranan Persatuan Undang-Undang Sabah sebagai penjaga kepentingan itu, saya berpandangan bahawa locus standi tidak sepatutnya menghalang mereka daripada membangkitkan isu ini. Oleh itu, saya menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya bijaksana,” kata Duncan.
Terdahulu, pihak pendakwaan yang diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri, Nahra Dollah, membangkitkan bantahan awal terhadap permohonan SLS.
Beliau berkata, pemohon SLS, dalam kapasitinya sebagai pemerhati, tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Koroner yang membenarkan peguam bagi tertuduh kanak-kanak diterima sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues dan keputusan koroner untuk menarik diri daripada mendengar lanjut perkara itu.
Beliau berhujah bahawa peranan pemohon sebagai pemerhati hanyalah untuk memerhati prosiding inkues.
Nahra dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairus Johari dan Dacia Jane Romanus.
Bagi permohonan semakan itu, SLS membangkitkan persoalan undang-undang sama ada koroner terkhilaf dari segi undang-undang apabila membenarkan peguam bagi tertuduh kanak-kanak diterima sebagai pihak berkepentingan dalam inkues.
Keduanya, sama ada keputusan koroner yang membenarkan peguam tertuduh kanak-kanak menjadi pihak berkepentingan kekal sah di sisi undang-undang, dalam keadaan koroner itu kemudiannya menarik diri kerana potensi konflik kepentingan.
SLS dan pasukan peguam keluarga Zara memfailkan permohonan semakan mereka secara berasingan mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah.
Pasukan SLS dianggotai presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin, Jamadi Saleh, Dominic Ghani, dan Nabila Norsahar.
Peguam Shahlan Jufri, bersama-sama Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser, dan Elhanan James mewakili keluarga Zara.
Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang daripada tertuduh kanak-kanak yang dikaitkan dengan kes buli Zara.
Peguam Azhier Farhan Arisin, bersama Abdul Fikry Jaafar Abdullah, mewakili empat lagi tertuduh kanak-kanak yang lain.
Pada 28 Ogos lalu, Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz, yang bertindak sebagai koroner, berkata inkues akan diteruskan seperti yang dijadualkan tetapi akan didengar di hadapan koroner berbeza iaitu Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan.
Tarikh perbicaraan inkues ditetapkan bermula pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September, dan 22 hingga 30 September ini.
Dalam keputusan yang sama, koroner membenarkan permohonan daripada peguam yang mewakili remaja terbabit untuk diterima sebagai pihak berkepentingan dan memberikan mereka akses kepada dokumen kes.
Pada 20 Ogos lalu, lima remaja mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan menghina terhadap Zara Qairina.
Inkues ini dijalankan susulan kematian Zara Qairina, pelajar di sebuah sekolah agama di Papar.
Allahyarham ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada keesokannya.
Kematian Allahyarham mencetuskan solidariti awam yang meluas, dengan gesaan daripada pemimpin negeri, aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan agar siasatan rapi dijalankan demi kepentingan keadilan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




