Keputusan cerai Nora dibuat atas pertimbangan suami, tiada desakan 

Keputusan cerai Nora dibuat atas pertimbangan suami, tiada desakan 

Kuala Lumpur: Madu kepada penyanyi Datuk Nora Ariffin, Rose Aliza Sutrisno akhirnya tampil menjelaskan keadaan sebenar selepas namanya dan keluarganya terpalit dalam dakwaan bahawa dia serta anaknya memaksa suaminya menceraikan Nora. 

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Rose menyatakan bahawa keputusan perceraian itu dibuat atas pertimbangan suaminya, Rushdi Ramli sendiri, bukan atas desakan mereka.

“Saya memilih untuk berdiam diri selama ini kerana tidak mahu membuka aib sesiapa dan menjaga maruah suami serta nama baik madu saya. 

“Namun, apabila tersebar dakwaan bahawa saya dan anak memaksa suami menceraikan madu, serta tulisan lama saya digunakan untuk memburukkan saya, maka saya terpanggil untuk menjelaskan perkara sebenar,” tulisnya. 

Rose menjelaskan bahawa tulisan-tulisan lama yang dimuat naik semula oleh madunya sebenarnya adalah luahan emosinya pada tahun 2019, sewaktu baru mengetahui bahawa suaminya berkahwin secara senyap selama setahun tanpa pengetahuannya. 

Pada ketika itu, katanya, terdapat seorang individu yang rapat dengan suaminya, (individu itu kini sudah meninggal dunia), merayu agar suaminya menceraikan isteri kedua atas sebab-sebab tertentu.

“Suami akhirnya akur dengan permintaan individu itu dan melafazkan talak di hadapan madu dan anak-anaknya, termasuk arwah Alif. 

“Lafaz itu juga dirakam atas permintaan individu itu. Kejadian berlaku pada tahun 2019. Malangnya, video yang sepatutnya disimpan dimuat naik pada 12 Ogos 2024,” tulisnya.

Dalam kenyataan itu, Rose turut menafikan dakwaan bahawa terdapat panggilan telefon daripadanya atau sesiapa selepas solat Subuh yang memaksa suaminya menceraikan isteri kedua, seperti yang tersebar di media sosial. 

Dia yang bertugas sebagai pengetua sekolah turut menegaskan bahawa anaknya, Alia, tidak pernah terbabit dalam pemaksaan perceraian itu. 

Menurutnya, tulisan anaknya kepada madu pada tahun 2020 memang agak keterlaluan, namun ia ditulis dalam keadaan emosi seorang anak yang kecewa kerana ayahnya berkahwin lagi tanpa pengetahuan keluarga.

“Alia menyedari kesilapannya dan memohon maaf secara peribadi kepada madu saya pada September 2020. 

“Namun, tulisan yang sudah lama dipadam itu dikitar semula oleh madu saya pada tahun 2025 dan dibiarkan menjadi bahan spekulasi, mencetuskan persepsi buruk seolah-olah anak saya seorang yang tidak beradab,” tulisnya.

Sebagai seorang ibu, dia bertegas untuk mempertahankan maruah anaknya daripada terus dihukum atas kesilapan lampau yang sudah disesali.

Terdahulu, Nora memuat naik hantaran gambar papan tanda Mahkamah Rendah  Syariah Hulu Langat dan kenyataan mengenai permohonan cerai kepada suaminya, Rushdi Ramli bukan atas kehendak hatinya sendiri. 

Dalam hantaran terbaharu di Instagram, Nora berkata, keputusan itu dibuat bagi menunaikan hajat isteri pertama suaminya serta desakan daripada anak mereka. 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top