norhayati_nordin@hmetro.com.my
Sepang: Keputusan pengesahan lafaz cerai secara taklik pelawak juga pelakon, Along Cham, 42, dan isterinya, Afreena Suhaimi, 33, di Mahkamah Rendah Syariah Sepang hari ini ditangguhkan pada 30 September depan.
Peguam Syarie mewakili Along iaitu Muhammad Akmal Amzan berkata, tarikh baharu itu diputuskan mahkamah berikutan keterangan daripads pihak defendan (Afreena) pada hari ini agak panjang dan perlu dibawa ke prosiding seterusnya.
“Keputusan akan dibuat oleh mahkamah pada 30 September depan, jam 12.30 tengah hari. Jadi tarikh akan datang ini kita ambil daripada hasil keterangan defendan untuk kes (cerai ini) ditutup.
“Bagaimanapun, keterangan defendan (Afreena) hari ini agak panjang jadi keputusan (akan datang) di bawa ke prosiding seterusnya apabila hujah defendan pun kira-kira sejam setengah, yang berakhir jam 6.30 petang,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Muhammad Akmal lagi, defendan juga dalam keterangan diberikan tidak mengaku ada berlaku rujuk dan juga adanya lafaz taklik oleh plaintif.
Sementara itu, Peguam Syarie mewakili Afreena, Mohamad Iezwan Ielias berkata, perkara pengesahan cerai itu berlarutan panjang sebab kes pernah ditangguhkan tiga ke empat kali sebelum ini.
“Ditambah juga fokus kepada keterangan sebelum ini daripada pihak plaintif (Along) semata mata
Tetapi, keterangan untuk pihak kami selaku defendan hanya ambil masa satu hari dan selesai.
“Apapun, pihak kita (defendan) memang berhasrat untuk selesaikan dari awal. Tetapi, banyak keterangan carca marba (sebelum ini) daripada plaintif,” katanya.
Ujar Mohamad Iezwan, mahkamah juga tiada bantahan dalam keterangan balas daripada Afreena yang dibuat pada hari ini.
“Mahkamah terima semua dokumen daripada Afreena dan ditandakan sebagai sumber utama. Termasuk perbualan, ‘voice note’ semua itu mahkamah terima sebagai dokumen utama.
“Manakala, pihak sana (plaintif) juga difahamkan ada memaklumkan berlaku rujuk lisan dan kami (defendan) tidak setuju sebab tiada lafaz rujuk secara lisan pun.
“Kedua lafaz taklik yang dinyatakan sebanyak empat perkara oleh plaintif, tetapi pihak Afreena selaku defendan tidak pula mendengar perkara itu
dan plaintif hanya sebut satu perkara sahaja iaitu tipu curang,” katanya.
Terdahulu pasangan Along dan Afreena hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang di sini untuk pengesahan lafaz cerai secara taklik yang dibuat Along ke atas isterimya itu menerusi permohonan difailkan pada Januari lalu.
Sebelum ini, Hakim Syarie iaitu Muhammad Nazri Basrawi menetapkan kes pengesahan lafaz cerai taklik pasangan sensasi itu ditunda pada awal Julai lalu kepada tarikh hari ini.
Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu yang juga perkahwinan keduanya selepas bercerai dengan isteri pertama, Zila Saeron pada September 2016.
Hasil perkongsian hidup daripada perkahwinan dengan Zila itu, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah jagaannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd