Oh! Negara
Keputusan kes 1MDB Najib hari ini bakal tentukan sama ada beliau dibebaskan atau disabitkan atas tuduhan RM2.3 bilion.
Selepas melalui proses perbicaraan yang panjang dan berprofil tinggi, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi berdepan detik penting dalam hidupnya hari ini. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan nasib beliau dalam kes 1MDB yang sudah berlarutan selama tujuh tahun.
Keputusan ini hadir hanya beberapa hari selepas permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah ditolak.
Kini, semua mata tertumpu ke Istana Kehakiman, Putrajaya untuk keputusan yang bakal memberi kesan besar kepada landskap politik dan perundangan negara.
Mahkamah tinggi putuskan kes 1MDB Najib Razak selepas tujuh tahun

Kes ini membabitkan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Najib yang ketika itu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan didakwa melakukan kesalahan antara 2011 hingga 2014.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh keputusan hari ini selepas hujahan akhir pembelaan selesai pada 31 Oktober lalu. Perbicaraan ini mencatatkan tempoh keseluruhan 293 hari dengan 76 saksi dipanggil sepanjang prosiding.
Dua kemungkinan besar menanti Najib Razak

Jika mahkamah mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah, Najib akan dibebaskan serta-merta. Namun, pihak pendakwaan masih mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Sebaliknya, jika Najib disabitkan bersalah, hukuman akan dijatuhkan dan beliau juga boleh mengemukakan rayuan. Kes ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda yang besar jika sabit kesalahan.
Ketika ini, Najib sedang menjalani hukuman penjara di Kajang selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International. Hukuman asal 12 tahun penjara telah dikurangkan kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan.
Pssttt! Ohmedia harap korang tunggu keputusan hari ini dengan tenang dan rasional. Apa pun keputusannya, biarlah undang-undang berjalan mengikut landasan yang betul demi keadilan dan ketelusan negara.
Kredit: Harian Metro
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Hafizal adalah penulis sepenuh masa di Oh! Media yang sentiasa hadir menemani anda, terutama di saat-saat lewat malam. Untuk mendapatkan berita terkini dan cerita viral, jangan lupa cari nama Hafizal—sentiasa ada untuk menghibur dan menginformasikan anda!




