farahmarshita@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 16 Julai untuk keputusan permohonan Ketua Polis Negara (KPN) bagi membatalkan saman seorang guru tadika yang mendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal menangkap bekas suaminya dan memulangkan anak perempuan yang dilarikan lelaki itu.
Permohonan dikemukakan oleh KPN dan tiga pihak lain untuk membatalkan saman M Indira Gandhi yang mendakwa polis gagal melaksanakan waran komital terhadap bekas suami mualaf, Muhammad Riduan Abdullah, dan memulangkan anak perempuan mereka yang kini berusia 13 tahun.
Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Indira ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Terdahulu, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak menerusi prosiding dalam talian, hari ini.
Berdasarkan dokumen hujahan bertulis defendan, mereka berhujah tindakan saman oleh plaintif mengakibatkan berlaku banyak prosiding, memandangkan ada kes yang sama di Mahkamah Tinggi Ipoh.
“Mahkamah Tinggi Ipoh masih memantau arahan mandamus yang dikeluarkan terhadap KPN untuk melaksanakan waran komital terhadap Riduan berdasarkan permohonan semakan kehakiman oleh plaintif.
“Sehubungan itu, remedi yang dipohon dalam tindakan saman ini harus dibenarkan dalam prosiding semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Ipoh,” katanya.
Sementara itu, plaintif dalam hujahan bertulisnya, mendakwa defendan gagal mematuhi arahan Mahkamah Tinggi Ipoh supaya Riduan dipenjarakan atas tuduhan menghina mahkamah dan untuk mendapatkan semula Prasana.
Katanya, plaintif menuntut ganti rugi atas penderitaan yang dialami akibat ketidakpatuhan defendan.
“Remedi yang dituntut oleh plaintif adalah berbeza daripada prosiding semakan kehakiman,” katanya.
Pada 11 Januari lalu, Indira memfailkan permohonan interogatori bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya KPN menjawab kesemua 48 soalan secara bertulis, melalui afidavit mengikut Aturan 26 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Soalan itu adalah berkaitan siasatan dijalankan termasuk lokasi bekas suaminya yang sebelum ini dikenali sebagai K Patmanathan, dan didakwa berada di selatan Thailand.
Pada 28 Oktober tahun lalu, Indira, 46, selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan KPN, PDRM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia selaku defendan.
Dalam penyataan tuntutannya, Indira mendakwa defendan pertama iaitu KPN dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus Mahkamah Persekutuan kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan anaknya yang dilarikan bekas suami.
Remaja itu dilarikan oleh bapanya ketika berusia setahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




