London: Pertaruhan Marc Marquez untuk meninggalkan Honda pada 2023 akhirnya membuahkan hasil luar biasa tahun ini, apabila pelumba Sepanyol itu merangkul kejuaraan MotoGP ketujuh bersama Ducati.
Ia satu pencapaian yang diakui Marquez telah membuktikan kebenaran di sebalik keputusan paling sukar dalam kariernya.
Kejayaan emosi itu yang dimeterai dengan baki lima pusingan perlumbaan, hadir selepas perjalanan luar biasa daripada kemelut kecederaan dan hampir bersara, sehinggalah menyamai jumlah kejuaraan legenda MotoGP, Valentino Rossi.
Selepas memenangi enam gelaran bersama Honda, Marquez melalui tempoh suram dengan empat pembedahan lengan yang membuatkannya hampir menggantung sut perlumbaan apabila dia bergelut dengan jentera tidak kompetitif dan membebankan tubuhnya yang cedera.
Namun, talian hayatnya melalui jalan yang tidak dijangka, perpindahan ke pasukan satelit Gresini Racing yang menggunakan jentera Ducati tahun lalu, satu pertaruhan yang didorong oleh naluri dan keyakinan dia masih mampu bersaing di barisan hadapan.
“Pada 2023, saya buat keputusan berdasarkan naluri saya. Saya berbincang dengan baik bersama Honda, dan semua orang di sekeliling saya. Bila saya pindah ke Gresini, mereka ada jentera terbaik, Ducati,” kata Marquez kepada wartawan semalam.
“Saya mahu jadi kompetitif untuk teruskan karier saya dan jawapannya positif. Bila anda berada dalam pasukan terbaik, dengan jentera terbaik dan teknologi terbaik, segalanya di tangan anda.
“Sejak musim sejuk itu, saya tahu ia peluang terbaik saya untuk kejar kejuaraan. Saya beritahu Gresini, saya sanggup menunggang secara percuma, asalkan saya boleh berlumba dengan pelumba terbaik.”
Apa yang berlaku selepas itu ialah satu kebangkitan bersejarah, apabila Marquez menamatkan musim 2024 di tempat ketiga, lalu menerima tawaran ke pasukan pengeluar Ducati dan mendominasi musim 2025 untuk memenangi kejuaraan ketujuh yang telah lama dinantikan selepas 2,184 hari.
Apabila Marquez yang sebak melintasi garisan penamat di Motegi pada Ahad dan mengesahkan gelaran juara, tiada apa yang tinggal selain penghormatan daripada Honda apabila kru mereka memeluk pelumba Sepanyol itu di paddock, mengiktiraf kebangkitannya yang luar biasa.
“Ia adalah keputusan paling sukar dalam karier saya pada 2023, kerana kami datang dari tempoh yang sangat gelap disebabkan kecederaan. Saya perlu pertimbangkan sama ada untuk akhiri karier saya,” tambah Marquez.
“Bantuan terbesar adalah semua orang di Honda memberi saya peluang untuk buat keputusan sendiri. Mereka beri saya keyakinan untuk memilih.”
Kejuaraan ketujuh Marquez dalam kelas utama menyamakannya dengan Rossi, dan hanya satu kejuaraan di belakang pemegang rekod sepanjang zaman, Giacomo Agostini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




