Keputusan postif buat Sabah

Keputusan postif buat Sabah

sukan@hmetro.com.my

Melaka: Keputusan mengikat Melaka FC (MFC) 2-2 pada aksi Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat malam tadi dianggap melegakan buat jurulatih Sabah, Alto Linus selepas ketinggalan dua pada aksi terbabit.

Baginya, keseluruhan keputusan positif diraih ketika tuan rumah giat mengasak pada babak pertama ketika anak buahnya seolah hilang tumpuan pada awal permainan terbabit.

Katanya, hadir ke Melaka tanpa beberapa tonggak yang cedera sesuatu yang bukan mudah untuk diharungi ketika lawan memiliki kelebihan aksi di laman sendiri.

Menurutnya, kredit kepada semua pemain yang beraksi dengan baik sehingga menghasilkan keputusan yang positif menjelang aksi timbal balik di Kota Kinabalu Khamis ini.

“Babak pertama pemain kehilangan konsentrasi ketika Melaka menunggu serangan kami kemudian melakukan serangan balas pantas sehingga menyebabkan kesilapan pemain pertahanan.

“Bagaimanapun kami bangkit untuk menyamakan kedudukan dengan akhirnya keputusan positif direkodkan pada perlawanan ini,”katanya.

Apapun, beliau melihat seharusnya anak buahnya menggunakan kesempatan dengan kelebihan pemain selepas tuan rumah beraksi 10 pemain pada penghujung babak pertama.

Namun setiap usaha merobek gawang lawan berjaya dipatahkan dengan baik oleh benteng MFC dengan hanya satu jaringan diperoleh ketika lawan bermain dengan 10 pemain.

Alto berkata, sehubungan itu kombinasi permainan akan dipertajamkan menjelang aksi di Likas bagi membolehkan kemenangan berpihak kepada pasukan termasuk melihat tahap kecederaan Darren Lok yang terpaksa dikeluarkan pada babak kedua akibat kecederaan.

Katanya, beraksi di laman sendiri perlu digunakan sebaik mungkin buat The Rhinos namun sesekali tidak memandang mudah cabaran pelawat kerana yang pasti Sabah mahu melangkah lebih jauh di pentas piala berprestij terbabit.

Pada aksi malam tadi MFC terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Dino Kalesic dilayangkan kad merah pada m-44 perlawanan.

Gol-gol perlawanan disempurnakan Sharel Fikri (m-2) dan Kwangil Pak (m-37 ) buat MFC dan Ajdin Mujagic (m-14) serta Fergus Tierney (m-88) untuk kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi sepenuh perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top