Keputusan rayuan AG berkaitan Titah Adendum diketahui pagi ini

Keputusan rayuan AG berkaitan Titah Adendum diketahui pagi ini

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Putrajaya: Keputusan rayuan Peguam Negara (AG) bagi menghalang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum akan diputuskan Mahkamah Persekutuan, di sini, pagi ini.

Ia akan disampaikan panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Barisan panel akan memutuskan sama ada mengekal atau mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman Najib, 72, kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan.

Jika rayuan ditolak, semakan itu akan diteruskan di Mahkamah Tinggi dan sekiranya rayuan dibenarkan hasratnya untuk meneruskan semakan kehakiman itu untuk mendapatkan perintah mandamus supaya menjalani baki hukuman penjara di rumah berakhir.

Pada 9 Julai lalu, mahkamah selesai mendengar hujahan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan serta peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib pada 6 Julai lalu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari 2024.

Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu adalah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top