Keputusan rayuan kes bunuh Kevin Morais jadi tugas terakhir Tengku Maimun esok

Keputusan rayuan kes bunuh Kevin Morais jadi tugas terakhir Tengku Maimun esok

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua Hakim Negara wanita pertama Malaysia, Tun Tengku Maimun Tuan Mat akan mengetuai panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan esok untuk memberikan keputusan dalam rayuan akhir kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais dan ia tugas terakhir beliau sebelum bersara wajib daripada perkhidmatan.

Walaupun berbaki sehari lagi, beliau masih bersemangat meneruskan tugasan harian dan sempat menghadiri Persidangan Khas Hakim-Hakim di sebuah hotel berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pagi ini.

Menurut akhbar Utusan Malaysia, ketika wajahnya dirakam jurugambar, Tengku Maimun tidak lekang menguntum senyuman dan kelihatan masih bersemangat.

Mengikut Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada peruntukan Fasal (2) hingga (5), seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga mencapai usia 66 tahun dan boleh dilanjutkan enam bulan lagi atas perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang turut dijadualkan bersara apabila mencapai umur persaraan wajib Rabu ini.

Begitu juga, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan iaitu di antara empat hakim Mahkamah Persekutuan yang dijadual bersara tahun ini selain Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Hanipah Farikullah.

Pada 20 Mei lalu, Tengku Maimun mengesahkan belum menerima tawaran untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan dan memberitahu pemberita, selain beliau, Abang Iskandar dan Nallini juga belum menerima tawaran berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada akan menimbangkan tawaran untuk menyambung perkhidmatan sebagai Ketua Hakim Negara selama enam bulan lagi.

Tengku Maimun yang ditemui pada Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman berkata, beliau tidak sepatutnya menjawab persoalan itu sekarang sama ada akan menimbangkannya.

Sementara itu, Tengku Maimun yang bersidang bersama-sama Abang Iskandar dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang akan memutuskan rayuan akhir bekas pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran dan enam yang lain bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati kerana membunuh Morais.

Perayu lain ialah pemberi pinjaman wang, S Ravi Chandaran, 54, dan empat penganggur, R Dinishwaran, 33; A K Thinesh Kumar, 32; M Vishwanath, 35 serta S Nimalan, 32.

Dalam rayuan itu, peguam Datuk N Sivananthan, Amer Hamzah Arshad, Y Sheelan Samuagan, Kitson Foong, Burhanudeen Abdul Wahid dan Afifuddin Ahmad Hafifi mewakili perayu manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim mewakili responden.

Pada 14 Mac tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap keenam-enam lelaki berkenaan.

Pada 10 Julai 2020, mereka dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah membunuh Morais di sebuah lokasi sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi hingga 8 malam, 4 September 2015.

Morais, 55, dilaporkan hilang pada tarikh terbabit dan kali terakhir dilihat meninggalkan kondominium dengan menaiki Proton Perdana dari Menara Duta, Kuala Lumpur, ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

Mayatnya ditemukan dalam tong dram yang diisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September tahun sama.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top