am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Sebarang keputusan berhubung rombakan Kabinet adalah prerogatif atau hak mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,
Perkara itu dimaklumkan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, lantas menyerahkan sepenuhnya ìsu mengenai rombakan Kabinet kepada kebijaksanaan Anwar selaku teraju kepimpinan negara.
Mengenai kedudukan beliau dalam Kabinet pula, JOhari yang juga juga Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) dan Naib Presiden UMNO memaklumkan ia tidak seharusnya dipolemikkan kerana keutamaan ketika ini adalah menumpukan kepada usaha menyumbang kepada negara dan juga rakyat.
“Soal Kabinet ini kita kena faham, ia adalah prerogatif atau hak mutlak Perdana Menteri. Jadi, biarlah beliau yang membuat keputusan.
“Saya gembira dengan apa yang saya buat hari ini untuk menyumbang kepada negara,” katanya sambil menambah tumpuan utama sekarang memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus dilaksanakan secara konsisten tanpa mengira perubahan atau penyusunan semula dalam Kabinet.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Bangunan UMNO Sabah, di sini, hari ini.
Mesyuarat dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Semalam, media melaporkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memberi bayangan akan berlaku rombakan Kabinet dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi ketika berucap pada majlis penutup Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025.
Laporan sama turut memaklumkan tempoh keanggotaan Zambry sebagai Ahli Dewan Negara akan berakhir pada 2 Disember depan selepas mengangkat sumpah pada 3 Disember 2022.
Beliau dilantik sebagai Menteri Luar sebelum memegang portfolio Menteri Pendidikan Tinggi.
Turut mengangkat sumpah pada tarikh sama ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
© New Straits Times Press (M) Bhd




