Keputusan Tudor keluarkan Kinsky undang kecaman

Keputusan Tudor keluarkan Kinsky undang kecaman

London: Pengendali sementara Tottenham Hotspur, Igor Tudor, dikecam hebat selepas keputusannya mengeluarkan penjaga gol muda Antonin Kinsky seawal minit ke-17 ketika pasukannya tewas 2-5 kepada Atletico Madrid pada aksi Liga Juara-Juara.

Tudor sebelum itu membuat keputusan mengejut apabila mengetepikan penjaga gol utama Guglielmo Vicario dan memberi peluang kepada Kinsky yang membuat penampilan pertama sejak Oktober.

Namun keputusan itu memakan diri apabila Tottenham bolos tiga gol dalam tempoh 15 minit pertama dengan dua daripadanya berpunca daripada kesilapan besar penjaga gol berusia 22 tahun itu.

Tudor kemudian memasukkan semula Vicario, manakala Kinsky dilihat terus menuju ke bilik persalinan dalam keadaan terkejut.

Bekas penjaga gol Tottenham dan England, Paul Robinson, menyifatkan keputusan itu sebagai tidak wajar dan lebih bersifat kepentingan peribadi pengurus.

“Ia keputusan yang sangat mementingkan diri oleh pengurus. Nampaknya beliau membuat keputusan itu untuk melindungi kedudukannya sendiri tanpa memikirkan kesan kepada penjaga gol muda itu,” katanya kepada BBC.

Seorang lagi bekas penjaga gol England, Joe Hart, turut meluahkan rasa terkejut dengan tindakan Tudor.

“Seluruh stadium berasa simpati kepadanya. Dia berjalan melepasi Igor Tudor dan langsung tidak diberi sebarang reaksi. Jika itu cara pengurusan pemain, saya benar-benar terkejut,” katanya.

Reaksi simpati juga datang daripada kem Atletico dengan jurulatih Diego Simeone mengakui tidak pernah melihat situasi seperti itu sebelum ini.

Penyerang Atletico, Antoine Griezmann, berkata, tekanan mental yang dihadapi penjaga gol muda itu pasti sangat sukar.

“Secara mental ia pasti sangat sukar untuk penjaga gol itu. Ia bukan penyelesaian terbaik,” katanya.

Malah bekas penjaga gol Manchester United, David de Gea, turut memberikan sokongan kepada Kinsky menerusi media sosial.

“Tiada siapa yang bukan penjaga gol akan memahami betapa sukarnya posisi ini. Terus kuat dan bangkit semula,” katanya.

Kekalahan itu turut menyaksikan Tottenham mencatat rekod buruk apabila mengalami kekalahan keenam berturut-turut buat kali pertama dalam sejarah kelab.

Keputusan itu juga menimbulkan persoalan mengenai masa depan Tudor yang baru mengambil alih pasukan bulan lalu selepas menggantikan Thomas Frank.

Setakat ini, jurulatih dari Croatia itu tewas dalam keempat-empat perlawanan sejak dilantik, sekali gus menambahkan tekanan terhadap kedudukannya.

“Saya perlu memohon maaf kepada penyokong dan semua orang. Sukar untuk menjelaskan apa yang berlaku, terutama dalam 20 minit pertama. Ia sesuatu yang sangat pelik,” kata Tudor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top