am@hmetro.com.my
Putrajaya: Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkongsi detik perpisahan bersama kakitangannya di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam susulan peletakan jawatannya sebagai menteri, yang berkuat kuasa hari ini.
Menerusi ciapan bersama dua gambar yang dimuat naik di platform X, beliau merakamkan ucapan terima kasih kerana diberikan peluang dilantik sebagai menteri di kementerian berkenaan.
“Terima kasih memberi saya peluang untuk menjadi Menteri di pejabat ini. Muda (dan jiwa muda), penuh dedikasi. Terima kasih kerana memahami pilihan sukar ini. Acap kali keputusan yang betul adalah keputusan yang sukar,” katanya.
Pada perkongsian itu, Nik Nazmi turut memuat naik lirik lagu kumpulan rock terkenal dari Amerika Syarikat (AS), Green Day bertajuk ‘Time Of Your Life’.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menaruh harapan supaya Nik Nazmi mempertimbangkan semula keputusannya untuk meletak jawatan Kabinet.
Pada 28 Mei lalu, Nik Nazmi mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkuat kuasa 4 Julai ini.
Ia menyusuli kira-kira tiga jam selepas Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Ahli Parlimen Pandan pada hari sama, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi, berkuat kuasa 17 Jun lalu.
Keputusan diambil kedua-dua pemimpin PKR itu berikutan kekalahan mereka mempertahan jawatan masing-masing sebagai Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti Mei lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd