Kerajaan angkat kedudukan PMKS tembusi pasaran antarabangsa

Kerajaan angkat kedudukan PMKS tembusi pasaran antarabangsa

farahmarshita@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan akan mengangkat kedudukan puluhan ribu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk menjadi pemain industri yang penting bagi menembusi pasaran antarabangsa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, sumbangan dan keupayaan PMKS di negara ini adalah tinggi, namun pada masa yang sama berdepan jurang yang besar.

“Sekiranya Malaysia mahu maju, kita tidak perlu bersaing dengan syarikat multinasional (MNC), tetapi kita angkat kedudukan puluhan ribu PMKS untuk menjadi pemain industri yang penting.

“Kecekalan, inovasi dan daya ciptanya kita dukung untuk dapat menembusi pasaran antarabangsa. Itu akan menjadi penentu kepada kejayaan kita,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026, di Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Timbalannya, Sim Tze Tzin serta Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI, Datuk Hanafi Sakri.

Anwar berkata, dalam merangka Belanjawan 2027, beliau mengingatkan rakan di peringkat kepemimpinan supaya tidak memulakan proses dengan kerangka pemikiran sendiri.

Sebaliknya, beliau menekankan supaya mereka memahami kerangka dan keperluan semua sektor di bawah kementerian terlebih dahulu.

“Selepas itu, barulah kita dapat menilai sama ada keperluan itu boleh diselaraskan dengan kerangka yang ingin kita bentangkan atau perlu melakukan sedikit pengubahsuaian

“Dalam kerangka yang kita bangunkan baru-baru ini, kita memberikan tumpuan kepada industri menerusi pendekatan ‘menggapai di langit, mengakar di bumi’.

“Menggapai di langit’ merujuk kepada bidang-bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), superkomputer dan teknologi canggih yang seolah-olah berada di angkasa raya. Kita perlu menguasai bidang-bidang ini kerana tanpa keupayaan berkenaan, negara kita akan ketinggalan. Ini adalah cabaran besar bagi negara.

“Tetapi jika kita melihat perdebatan di Parlimen ketika ini, perbincangan masih berkisar pada persoalan siapa Islam, siapa bukan Islam, siapa munafik dan siapa tidak. Kita masih terikat dengan kerangka pemikiran yang jumud, lapuk dan kolot,” katanya.

Anwar berkata, sekiranya negara mahu dibangunkan, generasi baharu dan pihak industri perlu bersedia membangunkan industri sendiri dengan meningkatkan keupayaan serta memodenkan sektor berkenaan.

“Kita tidak boleh mengangkat martabat ekonomi dengan terus menggunakan pendekatan lama yang sudah lapuk. Sebab itulah kita menekankan konsep ‘menggapai di langit’.

“Namun, sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, sentimen dan wilayah, Malaysia juga perlu ‘mengakar di bumi’.

“Pembangunan mesti mengambil kira realiti masyarakat majmuk serta keperluan rakyat di negara ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top