Kerajaan AS digesa lakukan tindakan yang betul, dedahkan bukti 1MDB

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

PETALING JAYA: Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng menggesa kerajaan AS mendedahkan keterangan berkaitan kes rasuah membabitkan dana 1MDB, termasuk nama individu yang menyeleweng ratusan juta ringgit dari syarikat berkenaan serta mereka yang menerima manfaat darinya.

“Saya berpendapat AS seharusnya tidak menyembunyikan maklumat tersebut dan sudah tentu kita punya hak untuk tahu mengenainya,” Lim memberitahu FMT dalam satu temubual ekskusif.

Ahli Parlimen Bagan itu mengulas dakwaan bahawa pihak berkuasa AS menyekat keterangan serta maklumat berkaitan 1MDB dari didedahkan kerana akan menjejaskan permohonan kerajaan AS untuk mencelah dalam saman sivil yang difailkan oleh Najib terhadap bank pelaburan Goldman Sachs dan bekas eksekutifnya, Tim Leissner.

Lim percaya pentadbiran Presiden Joe Biden menghormati undang-undang dan Putrajaya seharusnya membuat representasi kepada Washington bagi menguruskan perkara tersebut.

“Kerajaan AS seharusnya telus. Dedah dan berikan pendedahan yang sewajarnya, mengenai siapa yang menerima wang dari 1MDB, dari Jho Low,” jelas Lim merujuk kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Lho, individu yang dikatakan dalang skandal 1MDB.

“Setiap rakyat Malaysia berhak tahu kerana itu adalah wang kita,” kata setiausaha agung DAP itu.

Mengulas mengenai penyelesaian caj antara Putrajaya dan Goldman Sachs yang bernilai USD3.9 billion (RM16.6 bilion), Lim berkata nilainya terlalu kecil berbanding jumlah sebenar yang seharusnya dibayar oleh bank itu, iaitu sebanyak USD7.5 bilion.

Ia turut melibatkan tuntutan tertunggak berkaitan dengan tiga urus niaga bon membabitkan skandal 1MDB.

Jumlah penyelesaian dan wang yang telah diterima oleh Malaysia dari Jabatan Kehakiman AS (DoJ) lebih dari USD4.5 bilion (RM19.14 bilion) akan dikembalikan kepada kerajaan.

“Ia seharusnya bersifat ‘retributive’, di mana Goldman Sachs dihukum kerana membolehkan wang diselewengkan oleh Low dan proksinya. Mereka telah buta-buta ‘merompak’ wang Malaysia.”

“Pada masa yang sama ia juga seharusnya setimpal dengan jenayah yang telah dilakukan. Jadi nilainya sangat rendah.”

Julai lalu, Goldman Sachs mencapai persetujuan dengan Putrajaya yang menyaksikan bank pelaburan itu membayar secara tunai USD2.5 bilion (RM10.63 bilion) dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya USD1.4 bilion (RM5.95 bilion) dari segi aset yang berkait dengan hasil yang telah diseleweng melalui tiga urus niaga bon berkenaan.

Memandangkan ianya melibatkan aset yang disita, jaminan tersebut tidak akan mengakibatkan kerugian kewangan kepada Goldman Sachs.

Sebagai balasannya, Malaysia akan mengugurkan dakwaan jenayah terhadap bank tersebut kerana menyembunyikan fakta material dengan menaikkan bon bernilai USD6.5 bilion bagi pembelian loji kuasa oleh 1MDB serta projek Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia.

Lim berkata perjanjian tersebut juga seharusnya didedahkan kepada awam bagi memastikan prinsip akauntabiliti dan ketelusan benar-benar dilaksanakan.

“Isu berkaitan Goldman Sachs adalah perkara yang berkaitan dengan tiadanya akauntabiliti dan ketelusan. Jadi prinsip itulah yang seharusnya dilaksanakan bagi menyelesaikannya.”