Kuala Lumpur: Awanbiru Technology Bhd (Awantec) telah mengumumkan bahawa unitnya, Prestariang SKIN Sdn Bhd (PSKIN) dan kerajaan telah mencatatkan perintah persetujuan mengenai penamatan unilateral projek Sistem Kawalan Imigresen Kebangsaan (SKIN) pada 2019.
Syarikat itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata susulan kepada perintah persetujuan itu, kerajaan akan membayar PSKIN sebanyak RM201.45 juta sebagai penyelesaian penuh serta muktamad berhubung pertikaian antara PSKIN dan kerajaan.
“Pembayaran itu akan dibuat oleh kerajaan secara bayaran penuh dalam tempoh tiga bulan mulai hari ini.
“Pihak-pihak berkenaan telah bersetuju untuk menarik balik semua rayuan yang belum selesai di Mahkamah Rayuan dan permohonan tertunggak di Mahkamah Tinggi antara sama lain sebagai sebahagian daripada terma perintah persetujuan,” kata Awantec.
PSKIN memperoleh konsesi selama 15 tahun dari kerajaan pada 9 Ogos 2017 untuk merancang, menyampaikan dan menyediakan peningkatan yang dijadualkan ke atas sistem kawalan imigresen serta sempadan yang dipertingkatkan kepada Jabatan Imigresen.
Pada 15 April 2019, PSKIN memfailkan tuntutan undang-undang terhadap kerajaan, berjumlah RM732 juta untuk penamatan unilateral projek SKIN melalui pengambilalihan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



