Kuala Lumpur: Pelarian memegang Kad Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) akan diberikan akses bersyarat kepada sektor pekerjaan formal sebagai pengganti kepada pengambilan pekerja asing baharu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah itu selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi mengurangi ketergantungan ekonomi negara terhadap pekerja asing
“Bagi mengelakkan pelarian terjerumus ke dalam ekonomi gelap (shadow economy) atau dieksploitasi oleh sindiket, kerajaan memberikan pemegang Kad DPP akses bersyarat kepada sektor pekerjaan formal.
“Kemahiran dan pengalaman bekerja yang dimiliki oleh pemegang Kad DPP akan membuka peluang yang lebih baik untuk mendapat penempatan ke negara ketiga melalui laluan pelengkap (complementary pathway),” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Ia bagi menjawab soalan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) mengenai kerangka strategik jangka panjang kerajaan dalam mengurus isu Rohingya bagi menyeimbangkan tanggungjawab kemanusiaan, keselamatan dan sosioekonomi negara serta mekanisme perkongsian tanggungjawab serantau dan antarabangsa untuk mencapai penyelesaian berkekalan.
Saifuddin Nasution menegaskan pelaksanaan DPP bertujuan mengurus keberadaan pemegangnya secara sementara dan bukan untuk memberikan penempatan kekal di negara ini.
Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus membantu kementerian dan agensi berkaitan dalam rundingan dengan negara asal, negara penerima serta agensi antarabangsa bagi memastikan penyelesaian akhir dilaksanakan secara teratur dan bersesuaian dengan status setiap individu, dengan mengambil kira pertimbangan kemanusiaan serta kepentingan keselamatan negara.
Katanya, semua perkhidmatan sosial kepada pelarian DPP yang disediakan oleh kementerian dan agensi terbabit termasuk akses kesihatan dan pendidikan tidak akan mengambil kemudahan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat tempatan.
“Sebagai contoh, perkhidmatan kesihatan kepada pelarian DPP hanya akan diberikan secara berinsurans atau berbayar tanpa subsidi kerajaan bagi melindungi fasiliti kesihatan awam.
“Akses pendidikan dan latihan asas turut disediakan kepada kanak-kanak pelarian bagi mengelakkan mereka terdedah kepada kegiatan jenayah jalanan, eksploitasi, atau ancaman sosial tetapi melalui institusi pendidikan swasta,” katanya.
Sementara itu Saifuddin berkata pengurusan isu pelarian dan pemohon suaka di Malaysia termasuk untuk warga Myanmar dilaksanakan menerusi kerangka dasar Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 (Semakan 2023): Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka. Arahan ini dilaksanakan oleh 20 kementerian dan agensi kerajaan yang mempunyai peranan dan tanggungjawab yang digariskan.
Beliau berkata Peranan KDN menerusi Jabatan Imigresen (Imigresen) di bawah arahan ini adalah untuk melaksanakan pendaftaran dan pengumpulan maklumat biometrik pelarian serta pemohon suaka bagi membolehkan kerajaan mempunyai rekod rasmi sendiri.
Katanya, ini bermaksud kerajaan mengambil alih peranan pendaftaran dan pengurusan data komuniti pelarian secara berperingkat yang sebelum ini diselia secara unilateral oleh pihak UNHCR.
“Semua data ini disimpan di dalam Sistem DPP yang merupakan pangkalan data biometrik rasmi Kerajaan yang dikawal selia sepenuhnya oleh Imigresen.
Saifuddin Nasution berkata KDN pada 1 Januari lalu mula melaksanakan Program DPP untuk mendaftarkan maklumat peribadi, mengambil data biometrik, semakan latar belakang, tapisan keselamatan dan melaksanakan penentuan status pelarian ke atas individu yang memiliki Kad UNHCR atau mereka yang mengaku sebagai pelarian.
Beliau berkata pelaksanaan Program DPP kini masih berada di Fasa 1 dengan tumpuan pelaksanaannya di Depot-Depot Tahanan Imigresen ke atas tahanan-tahanan yang mengaku sebagai pelarian.
Katanya, seramai 4,008 tahanan direkodkan sebagai individu yang berpotensi untuk diberikan perlindungan sementara di negara ini sebagai pelarian, tertakluk kepada hasil tapisan keselamatan dan proses penentuan status pelarian oleh kerajaan.
Saifuddin Nasution menjelaskan individu yang ditentusahkan statusnya sebagai pelarian menerusi mekanisme Penentuan Status Pelarian (PSP) Kerajaan akan diberikan Kad DPP, pas khas di bawah Peraturan 14, Peraturan-Peraturan
Imigresen 1963.
Kad ini adalah dokumen tunggal yang diiktiraf kerajaan bagi golongan pelarian yang membenarkan pemegangnya tinggal secara sementara di Malaysia kecuali Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sehingga pengurusan akhir dilaksanakan ke atas mereka.
“Tiga pengurusan akhir itu ialah penempatan di negara ketiga, pulang ke negara asal apabila keadaan mengizinkan dan diusir keluar jika melakukan jenayah dan melanggar syarat-syarat pas DPP yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Pergerakan pemegang Kad DPP dikawal mengikut zon geografi dan dilarang merentas negeri tanpa kebenaran khas Imigresen. Kad DPP wajib diperbaharui setiap tahun,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




