am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan memberi jaminan serta akan memastikan keselamatan rakyat yang ketika ini terkandas di Timur Tengah susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini lebih 29,112 rakyat yang berdaftar dan tidak berdaftar berada di beberapa negara di Timur Tengah.
“Tentunya sebagai kerajaan, kita bertanggungjawab untuk memelihara dan menjamin keselamatan rakyat Malaysia. Supaya keberadaan mereka di sana dapat dijamin keselamatan.
“Ramai terkandas akibat penutupan ruang udara dan gangguan penerbangan. Sebahagiannya memang sudah menetap dan bekerja di sana.
“Sebahagian lagi adalah pelancong dan jemaah umrah. Jumlah yang besar yang berdaftar bertugas di rantau Timur Tengah, yang mencecah lebih 29,112 orang di kalangan yang berdaftar dan tidak berdaftar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemuka usul untuk mengutuk serangan biadab dan ganas Israel dengan sokongan AS ke atas Iran di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, paling ramai rakyat Malaysia ketika ini berada Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jordan.
“Kita terutamanya Wisma Putra sedang memantau dari dekat sebahagiannya juga dibantu oleh kedutaan dan menghubungi sekiranya memerlukan kerjasama membawa pulang, walaupun terbantut sekarang kerana tersekat penerbangan.
“Penerbangan dibolehkan dari Arab Saudi tapi dari negara lain masih lagi belum mendapat kepastian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




