hazwanfaisal@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sasaran defisit fiskal negara masih berada dalam landasan boleh dicapai malah berupaya mencatat pencapaian lebih baik namun hanya jika langkah rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan secara tegas tanpa sebarang penangguhan lagi.
Perunding Kanan Global Asia Consulting Samirul Ariff Othman berkata, penangguhan perluasan SST menyebabkan kerajaan kehilangan potensi kutipan RM730 juta pada bulan ini sahaja.
Pada masa sama katanya, harga minyak global yang semakin rendah menjejaskan hasil negara secara signifikan kerana setiap kejatuhan AS$1 dalam harga minyak mengurangkan ‘kantung kerajaan’ antara RM300 juta hingga RM350 juta.
“Kesannya, dua sumber hasil penting, peluasan SST dan minyak terjejas serentak. Ini memberi tekanan kepada sasaran hasil negara RM339.7 bilion untuk 2025 yang kini dijangka menurun kepada RM336.9 bilion.
“Sasaran defisit fiskal masih boleh dicapai atau lebih baik, tetapi hanya jika langkah rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan SST dilakukan dengan tegas tanpa penangguhan tambahan,” katanya kepada BH.
Kerajaan kekal komited kepada penyatuan fiskal, dengan menyasarkan defisit fiskal lebih kecil sebanyak 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2025.
Belanjawan 2025 membabitkan peruntukan RM421 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah diumumkan dengan RM335 bilion untuk belanja mengurus, RM86 bilion bagi pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.
Berdasarkan Belanjawan 2025, kerajaan menyasarkan harga minyak pada AS$75 hingga AS$80 setong tahun ini namun perkembangan tidak menentu di peringkat antarabangsa menyebabkan harganya sekitar AS$60 setong sekarang.
Sementara itu, peluasan skop SST yang dijadual bermula Mei ini sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2025, akan dilaksanakan pada tarikh kemudian, kata jurucakap Kementerian Kewangan kepada Bernama baru-baru ini ketika diminta mengesahkan laporan mengenai penangguhan itu.
Jurucakap itu berkata, kementerian juga selesai melakukan sesi libat urus dengan pelbagai industri di seluruh negara dalam memuktamadkan skop peluasan dan kadar cukai berkaitan.
Menurutnya, garis panduan dan skop itu sedang diperhalusi bagi memastikan pelaksanaan lancar.
Ditanya cara kerajaan menambah pendapatan, Samirul berkata, pilihan yang mungkin diambil ialah mempercepatkan pelaksanaan SST yang ditangguh.
“Walaupun tarikh digazetkan kepada 1 Jun, kerajaan perlu pastikan pelaksanaannya tidak tertangguh lebih lanjut.
“Kerajaan juga boleh laksanakan cukai baharu. Contohnya, memperluas cukai digital, cukai karbon atau meningkatkan cukai barangan mewah atau import.
“Selain itu, meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan cukai pendapatan individu dan korporat.
“Penstrukturan semula subsidi dengan menukar subsidi pukal kepada subsidi bersasar seperti dalam pelaksanaan RON95 bersasar yang dijangka menjimatkan RM4.5 bilion,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan kerajaan perlu menambah pinjaman untuk menampung perbelanjaan, khususnya untuk pembangunan jika hasil sebenar terus di bawah jangkaan, dan tiada langkah-langkah penjimatan atau penjanaan hasil baharu dilaksanakan.
“Namun, kerajaan kini dilihat sedang mengimbangi semula subsidi dan belanja operasi untuk mengurangkan keperluan hutang tambahan.
“Dari segi defisit fiskal, menurut BIMB Securities, defisit fiskal dijangka sedikit lebih baik pada 3.76 peratus daripada KDNK, berbanding sasaran asal kerajaan iaitu 3.8 peratus.
“Ini berpunca daripada penjimatan subsidi minyak hasil pelaksanaan subsidi bersasar RON95 dan pengurangan perbelanjaan operasi akibat harga minyak yang rendah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd