Kerajaan buka Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, PATI – Hamzah

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia bersetuju untuk membuka Program Rekalibrasi Tenaga Kerja kepada majikan dalam empat sektor perkhidmatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ia membabitkan sub sektor restoran, kargo, borong dan runcit, serta pembersihan dan pencucian.

“Mesyuarat juga bersetuju untuk memperluas syarat kelayakan untuk menyertai program rekalibrasi tenaga kerja kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tergolong dalam beberapa kategori.

“Antaranya PATI yang telah mendaftar bagi program rehiring dan 6P tetapi tidak melengkapkan proses permohonan dan tidak menerima pas lawatan kerja sementara melalui program tersebut

“PATI yang lari tapi tidak dilaporkan majikan dan PATI yang mempunyai dokumen perjalanan negara asal yang tulen dan sah,” katanya pada sidang media di pejabat KDN, hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing, Kali ke-5, Bilangan 1/2021.

Dalam pada itu, mesyuarat juga bersetuju untuk melibatkan Agensi Pekerjaan Swasta (APS) yang berlesen di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1961 (Akta 246) bagi membantu mempercepatkan pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI.

“Walaubagaimanapun majikan masih perlu hadir ke Jabatan Imigresen (JIM) Malaysia bagi melaksanakan semua urusan di JIM seperti pengambilan biometrik dan sebagainya,” jelasnya.

Selain itu, mesyuarat turut memutuskan supaya moratorium sehingga 31 Disember 2021 diberikan kepada warganegara asing yang bekerja di atas vesel penangkapan ikan tempatan untuk memperolehi Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Jangka Pendek.

“Ini adalah untuk menyelesaikan isu pengecualian yang kita berikan selama ini untuk kita pastikan tarikhnya sehingga 31 Disember tahun ini.

“Ia akan mengikut pengumuman yang akan dibuat oleh JIM tiga bulan sebelum tarikh penamatan, bulan September kita akan umumkan.

“Selepas tarikh tersebut PLKS jangka pendek telah diwajibkan bagi semua warganegara asing bekerja di atas vesel penangkapan ikan tempatan,” katanya.

Sementara itu, mesyuarat itu juga mengambil maklum bahawa Jemaah Menteri pada 7 April 2021 telah melanjutkan tempoh sah laku PLKS setahun lagi kepada pekerja asing sedia ada dalam sektor peladangan.

“Ini adalah kerana dalam tempoh waktu ini ada mereka yang hampir tamat tempoh PLKS kita beri setahun lagi sehingga tempoh itu tamat.

“Kalau dia tamat Mei tahun ini, kita beri sehingga Mei tahun depan, kalau tamat bulan Ogos, sehingga bulan Ogos, jika beri satu tahun lagi lanjutan.

“Pelanjutan ini hanya diberikan kepada pemegang PLKS yang hampir tamat tempoh bagi tahun ke-13 dengan kadar levi terakhir,” katanya.

Katanya lagi, semua keputusan itu diambil bagi membantu kerajaan memulihkan kembali ekonomi negara dengan segera.

“Ia juga bagi mengelakkan sektor-sektor kritikal seperti pembuatan, peladangan, perkhidmatan yang mengalami kerugian besar akibat masalah kekurangan tenaga kerja,” katanya. – MalaysiaGazette