Kerajaan digesa kemuka asas perlembagaan tamatkan khidmat EXCO

Kerajaan digesa kemuka asas perlembagaan tamatkan khidmat EXCO

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan digesa mengemukakan asas Perlembagaan Persekutuan yang digunakan bagi menamatkan perkhidmatan 10 EXCO kerajaan Negeri Sembilan, September lalu.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), berkata ini kerana tindakan kerajaan itu dikatakan bercanggah dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).

Setiausaha Agung PAS itu berkata, penjelasan itu penting, kerana ia membabitkan Perkara 71(1) dan Perkara 71(2) perlembagaan, yang memberi jaminan terhadap perlembagaan negeri.

Beliau berkata, penamatan perkhidmatan itu tidak mematuhi Perkara 38(5) UUTKNS, yang memperuntukkan pelantikan ahli EXCO, selain Menteri Besar, boleh dibatalkan Yang di-Pertuan Besar atas nasihat Menteri Besar.

“Setakat yang kita difahamkan, tiada nasihat yang diberikan oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk menamatkan perkhidmatan 10 ahli EXCO ini.

“Jika Port Dickson (bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun) boleh membuktikan sebaliknya, buktikanlah.

“Namun, difahamkan tiada nasihat diberikan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 21 September lalu, Ismail mendakwa tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian EXCO kerajaan negeri, dibuat tanpa nasihat atau permintaan Menteri Besar, adalah kekhilafan dari sudut perundangan.

Ismail menyatakan, ia juga tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang.

Beliau mendakwa tidak pernah dirujuk, atau pada bila-bila masa memberi nasihat mengenai perkara itu mengikut Perkara 38(5) UUTKNS.

Kenyataan Ismail adalah reaksi terhadap tindakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, membatalkan pelantikan EXCO kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta, sehari sebelum itu.

Berdasarkan kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati semua EXCO memungkiri sumpah jawatan.

Takiyuddin turut mempersoalkan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, yang menyifatkan tindakan itu sah di sisi perlembagaan, selain mendakwa ia tidak selari peruntukan UUTKNS.

“Saya ingin bertanya kepada Dusuki, perlembagaan mana yang dirujuk sehingga tindakan berkenaan dianggap sah?

“Justeru, saya meminta kerajaan, terutama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) menjelaskan Perkara 71(1) dan (2), dan asas digunakan untuk menyatakan tindakan di Negeri Sembilan, sah di sisi perlembagaan,” katanya.

Takiyuddin berkata, Perkara 71(1) Perlembagaan memperuntukkan jaminan Persekutuan terhadap hak raja sesebuah negeri menaiki takhta serta menjalankan hak istimewa mengikut perlembagaan negeri berkenaan.

Katanya, Perkara 71(2) Perlembagaan Persekutuan pula memperluas pemakaian peruntukan itu dengan pengubahsuaian perlu kepada pembesar yang memerintah Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada kerajaan Persekutuan menjamin perlembagaan negeri dilaksanakan, tanpa campur tangan dalam urusan tertakluk kepada peruntukan berkenaan.

“Isu perlembagaan ini wajar dibincangkan di Dewan ini kerana pindaan Perlembagaan Persekutuan dibuat di Parlimen, manakala perlembagaan negeri dibincangkan di Dewan Undangan Negeri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top