Kerajaan digesa tubuhkan RCI kes Muhammad Adib

Kerajaan digesa tubuhkan RCI kes Muhammad Adib

bhnews@bh.com.my

KUALA TERENGGANU: Kerajaan diminta menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang terbunuh selepas 21 hari dirawat dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya, dua tahun lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Said berkata, penubuhan RCI perlu bagi mencari keadilan dan memastikan dalang sebenar menyebabkan kematian Muhammad Adib menerima hukuman setimpal.

Katanya, kerajaan tiada alasan untuk menolak penubuhan RCI bagi menyiasat kematian Muhammad Adib, yang meninggal dunia selepas lebih tiga minggu mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), pada 17 Disember 2018.

“Jika kerajaan boleh menubuhkan RCI untuk menyiasat kes kematian Teoh Beng Hock, RCI juga perlu ditubuhkan bagi mencari dalang sebenar sehingga menyebabkan kematian Muhammad Adib,” katanya pada sidang media di kediamannya di Batu Burok, hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kijal berkata, kerajaan juga perlu menubuhkan RCI untuk menyiasat beberapa isu dibangkitkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas seperti ditulis dalam bukunya bertajuk “My Story: Justice In The Wilderness.

Katanya, Tommy dalam bukunya mengakui terbabit dalam mempengaruhi pemilihan dan penetapan Hakim Kanan termasuk Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Mahkamah Persekutuan melalui beberapa siri perbincangannya bersama Perdana Menteri.

“Tommy juga mengakui melakukan pendakwaan terpilih secara adil apabila menggugurkan pendakwaan dan menarik balik kes sedang dibicarakan membabitkan kes rasuah pemimpin tertinggi, termasuk kes bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top