Kerajaan disaran gubal undang-undang jamin peruntukan disalur kepada semua Ahli Parlimen

Kerajaan disaran gubal undang-undang jamin peruntukan disalur kepada semua Ahli Parlimen

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu menggubal undang-undang bagi menjamin peruntukan kawasan disalurkan kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, berkata jumlah peruntukan itu perlu ditentukan berdasarkan formula berkadar bagi memastikan pengagihan yang adil dan saksama.

Katanya, ketiadaan undang-undang atau garis panduan yang menjamin peruntukan kepada semua wakil rakyat tanpa mengira kecenderungan politik antara kekurangan perlu diberi perhatian dalam Belanjawan 2027.

“Langkah ini selaras dengan konsep waad nasional yang menekankan amanah dan tanggungjawab pemerintah untuk berlaku adil serta melakukan terbaik kepada rakyat selepas diberikan mandat.

“Waad ini bukan hanya berpaksikan kuasa, tetapi perlu dipagari dengan amanah. Apabila rakyat memberikan mandat kepada kerajaan, siapa pun menjadi pemerintah, maka pemerintah itu mempunyai tanggungjawab dan obligasi untuk berlaku adil serta melakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Isu berkenaan turut dibangkitkan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo, yang sebelum ini menggesa kerajaan menggubal undang-undang bagi menjamin peruntukan yang saksama kepada semua Ahli Parlimen tanpa diskriminasi politik.

Gobind yang juga Ahli Parlimen Damansara berkata, undang-undang itu dapat menghapuskan budi bicara politik dalam pemberian peruntukan, selain menjamin ketelusan dan melindungi hak semua pengundi di seluruh negara.

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan janji pilihan raya Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan peruntukan pembangunan yang saksama diberikan kepada semua Ahli Parlimen.

Mengulas lanjut, Syahredzan yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, berkata jumlah peruntukan kepada setiap Ahli Parlimen bagaimanapun tidak seharusnya disamaratakan kerana saiz kawasan dan jumlah pengundi berbeza.

Beliau memberi contoh kawasan Parlimen Bangi yang mempunyai lebih 300,000 pengundi dan kira-kira 700,000 penduduk, berbanding kawasan lain yang hanya mempunyai separuh atau satu pertiga daripada jumlah pengundi di kawasan itu.

“Jika Bangi diberikan peruntukan yang sama seperti kawasan lain, keadaan itu juga akan mewujudkan ketidakadilan kerana pengundi di Bangi terpaksa menerima jumlah peruntukan yang lebih rendah berbanding kawasan lain, jika dibuat pengiraan secara kasar.

“Justeru, saya menggesa kerajaan supaya menggubal undang-undang bagi menjamin peruntukan kepada semua Ahli Parlimen, tetapi jumlahnya perlu ditentukan mengikut formula berkadar bagi menjamin kesaksamaan dan keadilan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Syahredzan turut mencadangkan agar sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak dilaksanakan semula kerana ia dijangka memberi kesan kepada lebih 900,000 perniagaan yang perlu berdaftar dan mengutip cukai.

Katanya, jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding kira-kira 132,000 perniagaan yang berdaftar di bawah sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ketika ini.

“Pelaksanaan GST juga akan membebankan perniagaan kecil yang perlu menguruskan tuntutan bayaran balik cukai, selain mengenakan cukai secara langsung kepada pengguna.

“Walaupun ada perniagaan yang menanggung kos input SST mungkin lebih cenderung memilih GST, pengguna dijangka menanggung kesan lebih besar sekiranya sistem cukai itu dilaksanakan semula,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top