Kerajaan disaran tubuh entiti baru atasi isu BPT dicampur BPI seperti diumum Mardi – Barim

Kerajaan disaran tubuh entiti baru atasi isu BPT dicampur BPI seperti diumum Mardi – Barim

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan disaran untuk menubuhkan entiti baharu bagi mengatasi isu beras putih tempatan (BPT) yang dicampur dengan beras putih import (BPI) seperti diumumkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), baru-baru ini.

Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim) Ismail Awang berkata, isu itu tidak sepatutnya berlaku jika agensi penguat kuasa bertanggungjawab terhadap prosedur operasi standard (SOP) masing-masing.

“Dalam isu pembekal utama beras negara, ia sudah tidak wajar lagi diberikan peranan kepada sebuah entiti sahaja kerana beras adalah makanan utama negara yang dikategorikan sebagai keselamatan makanan.

“Ini bermakna, penswastaan daripada Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) kepada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) adalah satu kegagalan serta kesilapan dasar yang terlanjur,” katanya dihubungi, hari ini.

Ismail berkata, kegagalan itu sudah terbukti apabila penswastasn terbabit banyak ‘membunuh’ pemain-pemain industri padi beras terutamanya Bumiputera.

“Ia merangkumi perniagaan rantaian serta rangkaian industri padi beras mengalami penutupan dan yang terbaharu, kilang padi beras Debok di Perlis bakal ditutup.

“Sudah tiba masanya kerajaan menubuhkan satu entiti baharu yang boleh dikenali sebagai Majlis Padi dan Beras Negara (Mapen),” katanya.

Beliau berkata, kerajaan terutamanya bahagian penguat kuasa, wajib membatalkan atau memberi amaran kepada kilang padi, beras atau kilang pengampit beras yang didapati mencampur beras import, tanpa kompromi.

“Tindakan ini sepatutnya dijalankan secara adil tanpa mengira sama ada pihak terbabit adalah anak syarikat Bernas atau kartel besar sekalipun.

“Jika didapati mana-mana pihak yang melanggar peraturan, maka wajib dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Menurutnya, bahagian penguat kuasa tidak boleh ada ‘double standard’ dalam isu ini kerana apa yang salah tetap salah dan wajib diambil tindakan.

“Dengan cara ini sahaja, baru kita boleh nampak keberkesanan penguatkuasaan itu.

“Jika terdapat golongan tertentu termasuk kakitangan kerajaan yang terbabit dalam isu ini, mereka juga wajib dikenakan tindakan termasuk didakwa di mahkamah,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mendapati tiada peruntukan dan perundangan subsidiari berhubung pendakwaan dalam kesalahan mencampurkan BPT dan BPI.

KPKM pada kenyataan memaklumkan bahawa tiada peruntukan dalam Akta Kawalan Padi Beras 1994 (Akta 522) yang membolehkan dikenakan tindakan undang-undang berhubung perbuatan berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan, kira-kira 40 hingga 50 peratus BPI daripada 5,000 sampel yang dianalisis Mardi disahkan bercampur dengan BPT.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top