hafizithnin@mediaprma.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pembangunan kemahiran serta infrastruktur sokongan sebagai keutamaan dalam fasa seterusnya pembangunan ekonomi digital negara.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tadbir urus yang bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi digital bukan sahaja pesat, malah mampan dalam jangka panjang.
Menurutnya, tadbir urus yang baik tidak akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi, sebaliknya menjadi asas penting untuk memastikan pertumbuhan itu lebih stabil dan berdaya tahan.
“Tadbir urus yang bertanggungjawab tidak memperlahankan pertumbuhan. Ia sebenarnya yang menjadikan pertumbuhan itu mampan. Keutamaan adalah memperkukuh pembangunan keupayaan khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pencipta kandungan.
“Usaha pembangunan kemahiran tidak boleh lagi terhad kepada pendedahan asas semata-mata, sebaliknya perlu memberi akses kepada kemahiran lebih maju seperti asas perniagaan, literasi kewangan, analitik, pengurusan operasi serta strategi pertumbuhan jangka panjang,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Laporan Impak Sosioekonomi TikTok Malaysia 2025, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Anuar Fariz Fadzil dan Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia, Firdaus Fadzil.
Menerusi laporan itu menyatakan platform digital itu memberi sumbangan ketara kepada ekonomi negara apabila dianggarkan menjana RM20 bilion kepada ekonomi Malaysia serta menyokong lebih 147,000 peluang pekerjaan.
Selain itu, lebih 100,000 PMKS menerima latihan untuk memanfaatkan ekonomi digital.
Beliau berkata, kerajaan turut memberi fokus kepada usaha memperkukuh infrastruktur sokongan bagi memastikan ekosistem perdagangan digital dapat berkembang dengan lebih cekap dan mampan.
“Perdagangan digital yang mampan bergantung kepada sistem pembayaran yang boleh dipercayai, logistik yang cekap, perkhidmatan pelanggan yang responsif serta mekanisme penyelesaian pertikaian yang mudah diakses.
“Perkara ini bukan sekadar pelengkap, sebaliknya asas penting bagi memastikan kecekapan pasaran dan meningkatkan keyakinan pengguna dalam ekonomi digital,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




