Kerajaan giat tambah baik skim perlindungan, jaga kebajikan seniman

Kerajaan giat tambah baik skim perlindungan, jaga kebajikan seniman

KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani sedang berusaha menambah baik skim perlindungan seniman bagi melindungi serta meningkatkan kebajikan golongan itu dan ahli keluarga mereka, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Fahmi di laman Facebooknya hari ini berkata, usaha menambah baik skim itu perlu memandangkan para seniman banyak berjasa dan menyumbang kepada negara.

Dalam hantaran sama, Fahmi turut berkongsi kisah kunjungannya ke rumah Allahyarham Man Kadir Samsi atau lebih dikenali sebagai “Pak Jabit” di Temerloh, sempena lawatan rasminya ke Kuantan, Pahang, baru-baru ini, selepas mengetahui nasib balu Allahyarham, Raja Maharani Raja Jaafar, 70, mengalami masalah kesihatan.

“Makcik Maharani jatuh sakit dan batuknya jadi semakin teruk dan kini dia perlu bergantung kepada penumpu oksigen selama 15 jam sehari untuk bernafas. Dia juga perlu mengambil susu formula khas dengan harga RM100 satu kotak untuk dia teruskan kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, Maharani kini tinggal bersama seorang anak lelakinya dengan pendapatan kira-kira RM30 sehari.

Dalam lawatan itu, Fahmi turut menyampaikan sumbangan peribadi berbentuk penumpu oksigen dan beberapa kotak susu formula khas untuk Maharani.

Man Kadir Samsi merupakan seorang pelawak dan pelakon yang begitu popular menerusi watak Pak Jabit yang dibawanya dalam filem Hantu Kak Limah, Zombi Kampung Pisang.

Man Kadir telah meninggal dunia pada 7 September 2017. – MalaysiaGazette

 

Scroll to Top