Kerajaan jamin bekalan minyak stabil, rakyat tidak dibebani

Kerajaan jamin bekalan minyak stabil, rakyat tidak dibebani

Kuala Lumpur: Kerajaan sudah mengadakan perbincangan dengan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan syarikat minyak lain bagi memastikan bekalan minyak negara kekal mencukupi untuk tempoh sebulan lebih, sekali gus membolehkan kerajaan meneruskan mekanisme subsidi bahan api.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu harga bahan api adalah penting dan memerlukan fakta serta kejelasan untuk ditangani.

“Isu yang dekat di hati saya ialah harga bahan api. Kita perlu menanganinya. Kadangkala dalam pelaksanaan dasar ekonomi, ia mesti berpandukan fakta. Sebab itu kita membuat keputusan berkaitan RON95.

“Selepas berbincang dengan PETRONAS dan syarikat minyak lain, kita masih mampu mengawalnya untuk tempoh sebulan atau lebih. Rakyat seharusnya menjadi pihak terakhir yang terbeban dengan isu ini,” katanya pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 9 bertajuk Memacu Ekonomi Malaysia: Peranan Sektor Kewangan dan Reformasi Struktur Dalam Mendepani Ketidaktentuan Geopolitik Global, malam ini.

Panel lain adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour serta Ketua Ekonomi World Bank Malaysia, Dr Apurva Sanghi.

Kerajaan sebelum ini menurunkan kuota petrol RON95 bersubsidi kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April, berbanding 300 liter sebelum ini.

Harga petrol bersubsidi itu kekal pada RM1.99 seliter.

Selain itu, Anwar berkata, beberapa siri perbincangan turut diadakan bersama pasukan ekonomi kerajaan yang memutuskan untuk melanjutkan langkah-langkah penting bagi melindungi kepentingan rakyat dalam jangka sederhana dan panjang.

Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran untuk mendapatkan sokongan semua pihak.

Perdana Menteri turut menyeru seluruh rakyat supaya mengetepikan politik dan memberi tumpuan kepada langkah-langkah yang dapat meringankan beban ekonomi serta merangka dasar yang mampu membantu negara mengharungi krisis geopolitik.

“Kebimbangan saya adalah dalam sebuah negara demokrasi, amat sukar untuk mendapatkan sokongan semua pihak.

“Saya merayu supaya kita mengetepikan politik. Marilah kita fokus kepada langkah-langkah untuk meringankan isu ekonomi dan memperkenalkan dasar yang mendapat sokongan serta kefahaman semua,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top