nuratikah@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan memberi jaminan kebolehpasaran 100 peratus graduan tahfiz profesional dan teknokrat menerusi kerjasama strategik dengan syarikat multinasional (MNC).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia berdasarkan kepada permintaan tinggi untuk memenuhi keperluan tinggi industri negara.
Beliau berkata, permintaan semasa industri adalah 60,000 jurutera setahun sedangkan negara hanya mampu menawarkan sekitar 6,000 graduan dalam bidang berkenaan.
“Jurang besar ini membuka ruang luas kepada lepasan tahfiz yang bukan sahaja menghafaz 30 juzuk al-Quran, malah mengikuti pengajian profesional dalam bidang berimpak tinggi seperti kejuruteraan, teknologi kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT), robotik dan kenderaan elektrik (EV).
“Permintaan daripada MNC buat masa ini cukup tinggi, tahun ini sahaja mereka memerlukan 60,000 jurutera dan kita dapat tawarkan 6,000 sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Gen Hufaz Teknorat MARA 2026, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Tambah Ahmad Zahid, program melahirkan huffaz profesional dilaksanakan menerusi institusi pendidikan di bawah MARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).
Katanya, pendekatan menggabungkan pendidikan tahfiz dengan bidang teknikal bukan sahaja memperkasa modal insan berteraskan nilai agama, malah memenuhi keperluan strategik negara dalam sektor teknologi tinggi.
Menurutnya lagi, kerajaan sebelum ini meletakkan sasaran untuk melahirkan 125,000 huffaz profesional dan teknokrat menjelang 2050, dengan peluasan program ke seluruh negara melalui tujuh universiti MTUN.
“Saya cukup yakin, jika ia terus dipantau… maka sasaran ini dapat dicapai sebelum 2050. Kita juga tidak perlu beri jaminan kerana kebolehpasarannya ialah 100 peratus sebab kita melakukan kolaborasi bersama MNC.
“Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) huffaz tidak terhad di bawah MARA sahaja kerana kita sudah pun memulakan kerjasama tujuh Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) di seluruh negara,” jelasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




