am@hmetro.com.my
Klang: Kerajaan beri jaminan bekalan keperluan barangan asas seluruh negara mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata walaupun kementeriannya ada menerima laporan ketidakcukupan bekalan, namun jumlahnya tidak banyak.
“Ada kelompang satu dua (kawasan) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan bertindak segera untuk lokaliti yang mengalami masalah. Ia tidak banyak.
“Tahun ini aduan itu amat kurang. Semua (bekalan) sampai pada pengguna,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Pelancaran Semarak Syawal Peringkat Kebangsaan di Pasar Tani Taman Sri Andalas di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata kementerian turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak khususnya dalam menyokong usaha kerajaan memastikan harga barangan pada tahun ini terkawal dan berada pada paras yang agak rendah.
Sementara itu, mengulas mengenai program Semarak Syawal, Mohamad berkata sebanyak RM16 juta nilai jualan direkodkan setakat hari ini yang berlangsung di 262 lokasi seluruh negara bermula 22 Mac lalu sehingga esok.
Katanya selain di Pasar Tani Taman Sri Andalas, jualan khas turut diadakan di 42 lokasi terpilih di seluruh negeri dengan diskaun sehingga 30 peratus bagi Bakul MADANI Raya dan potongan harga sehingga 20 peratus bagi ayam proses.
“FAMA terus komited dalam memastikan pengguna mendapat produk berkualiti dengan harga berpatutan, di sampin memperkukuhkan peranan pasar tani sebagai platform utama bagi petani dan usahawan tempatan. Inisiatif ini juga sejajar dengan usaha kerajaan dalam memperkasakan keterjaminan makanan negara serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Antara pengisian menarik program ini termasuk jualan produk keperluan raya seperti ketupat, santan, daun palas, daging ayam dan lembu, serta pelbagai jenis kuih raya pada harga yang berpatutan.
Selain itu, jualan khas turut melibatkan penyertaan usahawan tempatan, pihak swasta serta agensi kerajaan yang menawarkan Kombo MADANI (400 bakul), Jualan Happy Hour, serta promosi harga istimewa bagi ayam dan santan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



