mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan masih lagi berusaha untuk menjejaki dan menyelamatkan 199 rakyat Malaysia yang didakwa menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, jumlah baki itu membabitkan 906 keseluruhan rakyat Malaysia yang dikesan menjadi mangsa sindiket itu.
“Setakat 28 Oktober 2024, Kementerian Luar melalui Perwakilan Malaysia di Luar Negeridengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan berjaya menyelamatkan 707 warganegara Malaysia yang terlibat dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara dan menghantar mereka pulang ke Malaysia.
“Manakala 199 orang lagi sedang dijejaki. Ini menjadikan jumlah warganegara Malaysia yang terlibat seramai 906 orang.
“Jumlah ini berdasarkan laporan yang diterima daripada waris, ahli keluarga, rakan, polis dan individu itu sendiri,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mengenai jumlah rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan ke luar negara dan dipaksa atau terlibat sindiket penipuan dalam talian.
Mohamad berkata, Kementerian Luar akan meneruskan usaha untuk mengesan mereka dan menghulurkan bantuan yang
sewajarnya.
“Sekiranya laporan telah diterima daripada mana-mana pihak termasuk ahli keluarga atau individu itu sendiri, kementerian ini melalui
Perwakilan Malaysia di Luar Negeri akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan bantuan untuk
mengesan keberadaan mereka.
“Ini juga termasuk memudahcara untuk melepaskan atau menyelamatkan mereka daripada sindiket penipuan dan seterusnya
penghantaran pulang mereka ke Malaysia,” katanya.
Katanya, pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap sindiket penipuan pekerjaan termasuk
memanfaatkan platform media sosial dan menerusi program diplomasi awam di seluruh negara.
“Saya ingin mengambil kesempatan di Dewan yang mulia ini untuk menasihatkan orang ramai dan rakyat kita supaya berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan iklan-iklan tawaran pekerjaan di luar negara yang menjanjikan gaji lumayan dan tidak realistik.
“Saya juga ingin mengingati orang ramai supaya jangan mengambil risiko demi tawaran gaji yang tinggi untuk pekerjaan yang tidak wujud kerana anda berkemungkinan akan meletakkan diri sendiri dalam keadaan yang amat bahaya.
“Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, semak tawaran pekerjaan itu dengan Kementerian Sumber Manusia, Perwakilan
Malaysia di Luar Negeri atau pihak berkuasa lain,” katanya.
From: Zura
© New Straits Times Press (M) Bhd




