NEW YORK: Tan Sri Lim Kok Thay, bekas pengerusi Genting Hong Kong Ltd yang terjerumus ke dalam pembubaran sementara minggu lalu, menuduh kerajaan Jerman memungkiri janji untuk menyediakan modal kepada unit pembinaan kapalnya, sehingga menyebabkan pengendali kapal persiaran itu terpaksa mendapatkan bantuan mahkamah untuk melindungi asetnya.
Sebagai sebahagian urus niaga penstrukturan semula tahun lalu, pentadbiran terdahulu Jerman bersetuju menyediakan kredit berjumlah AS$620 juta (RM2.5 bilion) untuk membantu MV Werften meneruskan pembinaan kapal persiaran yang dipanggil Global Dream, kata Kok Thay dalam satu surat bertarikh 24 Januari yang dilihat oleh Bloomberg News.
Namun, apabila kerajaan baharu Jerman mengambil alih pada Disember lalu, satu pengaturan alternatif yang dianggap Kok Thay sebagai ‘tidak munasabah’ dikemukakan dan jaminan peribadi diminta.
Kerajaan Jerman juga tidak membenarkan Genting Hong Kong untuk mengakses deposit tunai yang penting selepas Kok Thay menyuntik AS$30 juta (RM125 juta) sebagai prasyarat.
Kekurangan dana akhirnya mendesak syarikat untuk mendapatkan pembubaran sementara, kata Kok Thay dalam surat terbabit.
“Kami berada dalam kedudukan sekarang kerana pihak terbabit tidak memenuhi komitmen berkontrak yang dirunding secara tanpa mengenal penat sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula Jun 2021,” kata Kok Thay dan bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Colin Au.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat lalu, pegawai-pegawai Jerman menegaskan mereka sudah melakukan segala-galanya untuk menyelamatkan MV Werften.
Menteri Ekonomi, Robert Habeck, awal bulan ini menyalahkan Genting di atas kegagalan syarikat pembinaan kapal itu, dengan berkata kerajaan sudah menawarkan pinjaman sebanyak AS$670 juta (RM2.8 bilion) dengan syarat Genting menyediakan tambahan 60 juta euro serta penjamin untuk mendapatkan dana persekutuan.
Genting menolak tawaran itu, kata Habenck.
MV Werften berpangkalan di Mecklenburg-Western Pomerania, negeri utara yang miskin, di mana kira-kira 1,900 penduduknya diambil bekerja oleh syarikat pembinaan kapal itu.
Kerajaan Jerman berjanji untuk mengekalkan operasi MV Werften semasa pandemik melalui Dana Penstabilan Ekonomi (WSF) Jun lalu dan mengemukakan tawaran pinjaman pada Oktober untuk menyiapkan pembinaan kapal Global Dream, kata Kementerian Ekonomi Jerman dalam satu kenyataan e-mel pada Jumaat.
“Bagi memenuhi tanggungjawab limbungan kapal, syarikat induk iaitu Genting Hong Kong perlu membuat sumbangan kewangan sewajarnya untuk menutup jurang kecairan jangka pendek dan mendapatkan pinjaman disediakan oleh WSF,” menurut kenyataan kementerian berkenaan kepada Bloomberg.
“Ia amalan biasa dalam konteks langkah penstabilan WSF bagi pemilik membuat sumbangan mereka sendiri.”
Genting Hong Kong dan Genting Bhd enggan memberikan kenyataan.
Genting Bhd, Genting Singapore Ltd dan Genting Malaysia Bhd tidak mempunyai pegangan bersilang dengan Genting Hong Kong kecuali Kok Thay adalah pemegang kepentingan dalam keempat-empat syarikat itu.
Surat Kok Thay itu dihantar kepada Credit Agricole SA, yang kemudiannya berkongsikannya kepada bank lain yang menjadi sebahagian sindiket pinjaman, menurut individu yang rapat dengan perkembangan itu namun enggan dikenali kerana butirannya adalah sulit.
Wakil Credit Agricole di Hong Kong enggan mengulas.
Genting Hong Kong menjadi pengendali kapal persiaran terbesar di seluruh dunia yang mendapatkan bantuan mahkamah untuk melindungi asetnya semasa pandemik.
Ia selepas syarikat itu pada 19 Januari lalu memfailkan kepada Mahkamah Tinggi Bermuda untuk melantik pembubar sementara apabila kehabisan ‘segala usaha yang wajar’ untuk berunding dengan pemegang kepentingan dan penyedia pinjaman.
Kapal persiarannya di Hong Kong digantung, walaupun sebelum itu turut disebabkan oleh sekatan COVID-19 yang dikenakan oleh bendar raya berkenaan, manakala tempahan dari Singapura turut dihentikan.
Crystal Cruises, satu lagi jenama yang dikendalikannya di Amerika Syarikat (AS), menggantung pelayaran sepanjang Mei.
“Genting Hong Kong sepatutnya terselamat daripada COVID-19 jika pihak-pihak berkontrak memenuhi tanggungjawab mereka,” kata Kok Thay di dalam surat berkenaan.
Beliau menambah, situasi yang diletakkan oleh pihak berkuasa Jerman supaya mereka menyediakan sejumlah wang dalam tempoh Krismas dan Tahun Baharu lalu, adalah satu tugas yang mustahil.
Kok Thay dan Au baru-baru ini meletakkan jawatan daripada Genting Hong Kong.
Surat itu berkata, ia membolehkan pembubar sementara mempunyai kuasa untuk mengusahakan penyelesaian terbaik kepada syarikat berkenaan.
-Bloomberg
© New Straits Times Press (M) Bhd