am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kerajaan Johor menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani isu buli di sekolah yang semakin membimbangkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin, berkata jawatankuasa khas berkenaan akan bertindak sebagai platform penyelarasan bagi sekolah, ibu bapa, komuniti, agensi keselamatan dan pihak berkuasa.
Katanya, Kerajaan Johor memandang serius isu buli di kalangan pelajar yang disifatkan sebagai amat membimbangkan.
“Isu buli di sekolah bukan sahaja menjejaskan emosi dan keselamatan murid, malah mampu mengganggu perkembangan akademik serta masa depan mereka.
“Bagi memastikan isu ini dapat dibendung sebelum menjadi lebih parah, Kerajaan Johor melalui Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dengan kerjasama erat agensi dan jabatan berkaitan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan bertindak sebagai platform penyelarasan bagi semua pihak.
“Antara fokus utama jawatankuasa ini adalah melaksanakan pemantauan berterusan, menyediakan saluran aduan yang lebih mudah diakses, mengadakan kempen kesedaran di sekolah serta memberi sokongan kaunseling kepada mangsa buli.
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap pelaku buli mengikut undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Mengulas lanjut, Aznan berkata, usaha membanteras buli memerlukan peranan aktif semua pihak.
“Oleh itu, marilah kita sama-sama berganding bahu memastikan sekolah menjadi tempat yang selamat, harmoni dan kondusif untuk anak-anak kita belajar dan membina masa depan.
“Buli bukan budaya Johor, bersama kita hentikan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




