Kerajaan kenal pasti syarikat litar bersepadu untuk bangun IP 'Made By Malaysia'

Kerajaan kenal pasti syarikat litar bersepadu untuk bangun IP 'Made By Malaysia'

Kuala Lumpur: Kerajaan telah mengenalpasti dan menyokong penubuhan lebih enam syarikat reka bentuk litar bersepadu tempatan yang merupakan langkah kritikal ke arah memiliki harta intelek (IP) teknologi ‘Made by Malaysia’.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata selain itu, sebanyak 13 syarikat tempatan turut dikenal pasti berpotensi dibangunkan untuk mencapai sasaran ’10+100 Local Champions’, iaitu 10 syarikat dengan sasaran pendapatan tahunan melebihi US$1 bilion dan 100 syarikat yang mampu mencapai sasaran pendapatan sekurang-kurangnya RM1 bilion.

Menurutnya juga, kerajaan turut memberi sokongan kepada pemula niaga bagi menggalakkan penyertaan syarikat tempatan dalam inovasi melalui inisiatif seperti MyChipStart dan Semiconstart yang bertujuan memperkukuhkan keupayaan reka bentuk cip tempatan;

“Kerajaan juga sedang merangka mekanisme untuk memadankan pemilik IP tempatan dengan industri dan pelabur, bagi mempercepatkan komersialisasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan setrerusnya memacu penghasilan IP yang berimpak tinggi,” katanya melalui jawapan yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen pada Selasa.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Datuk Wu Him Ven mengenai pencapaian terkini fasa ketiga Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan perincian jumlah pelaburan langsung domestik (DDI) berbanding pelaburan langsung asing (FDI) mulai 2020 sehingga 2026.

Dari sudut pelaburan pula, sektor semikonduktor menjadi penyumbang utama kepada pelaburan pembuatan di Malaysia, walaupun secara tradisinya sektor ini didominasi FDI, trend terkini menunjukkan peningkatan penglibatan syarikat tempatan di dalam rantaian nilai.

Katanya, prestasi pelaburan sektor semikonduktor untuk tempoh 2020 hingga 2025 mencatatkan pertumbuhan yang dinamik dengan pencapaian sepanjang NSS dimulakan nilai FDI mencatat sebanyak RM56.8 bilion manakala pelaburan domestik (DI) berjumlah RM3.5 bilion.

Kebergantungan tinggi kepada FDI menekankan keperluan untuk kerajaan memperkukuh DI bagi membina daya tahan industri tempatan.

“Untuk itu, kerajaan menyediakan pelbagai mekanisme sokongan pembiayaan untuk memperkukuh sektor semikonduktor negara dengan peruntukan hampir RM2 bilion bagi 2026. Dalam konteks ini, kerajaan telah mengoptimumkan penggunaan skim geran dalam memastikan sumber kewangan digunakan secara lebih berfokus dan berimpak tinggi,” tambahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top